KUALA KANGSAR: UMNO dihormati dan disanjungi pelbagai pihak kerana kebijaksanaan barisan pemimpinnya dalam mengemudikan arah tuju agenda perjuangan parti, bangsa, agama dan negara.
Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sebab itulah perlunya setiap ahli taat dan setia kepada parti dan pemimpin.
Katanya, ahli UMNO perlu terus menyokong saf kepimpinan UMNO yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kebijaksanaan pemimpin- pemimpinannya yang telah meletakkan UMNO disegani, diyakini dan dihormati oleh pelbagai pihak.
``Kebijaksanaan dan kematangan pemimpin di dalam UMNO itu sendiri dan UMNO juga bukan hanya diyakini oleh orang lain tetapi turut diyakini oleh kaum-kaum lain di Malaysia dan dicemburui oleh negara negara luar.
``UMNO juga tidak pernah bersifat terlalu melampau dan mempunyai perimbangan kuasa dalam pendekatannya sehingga disenangi dan ini yang meletakkan UMNO begitu unggul dimata masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di Dewan Perdana Dato’ Maharaja Lela, MRSM Kuala Kangsar pada Ahad.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.
Mas Ermieyati turut menzahirkan kekecewaan Puteri UMNO di atas tindakan beberapa bekas pemimpin kerana mengkhianati parti dan sanggup bersekongkol dengan pembangkang untuk menentang parti dan menjatuhkan Presiden.
Katanya, ahli UMNO juga perlu ingat bahawa tidak ada parti pilihan sebaik UMNO yang dapat memperjuangkan nasib bangsa Melayu, agama dan negara.