top of page
muinsapidin

RM200 Juta Tingkat Pendapatan Pesawah Sungai Manik

SUNGAI MANIK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan lebih RM200 juta untuk projek naik taraf sistem pengairan di Sungai Manik, bagi meningkatkan pendapatan lebih 2,100 keluarga pesawah.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, 80 peratus daripada projek di kawasan jelapang padi seluas 6,700 hektar itu telahpun siap, manakala bakinya akan disiapkan dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

Menurut beliau, melalui projek itu, parit-parit tanah di kawasan berkenaan digantikan dengan konkrit untuk memastikan tidak berlaku mendapan atau rebak yang boleh menjejaskan sistem pengairan sawah.

Beliau memberitahu, sejak projek naik taraf itu dijalankan, hasil padi pesawah telah meningkat daripada purata 3.5 metrik tan sehektar kepada tujuh metrik tan sehektar.

“Apabila produktiviti bertambah, maka pendapatan akan bertambah. Pada waktu ini, petani-petani secara puratanya berpendapatan lebih kurang RM1,400 sebulan pada kadar 3.5 metrik tan sehektar.

“Kalau kita boleh naikkan kepada berganda, bermaknanya ada harapan pendapatan petani akan menjadi berganda, daripada RM1,400 menjadi RM3,000 atau lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Skim Pengairan Sungai Manik di sini pada Ahad.

Tajuddin berkata, usaha itu perlu kerana kerajaan tidak mahu golongan petani dan pesawah ketinggalan daripada arus pembangunan negara, lebih-lebih lagi dalam menuju negara maju menjelang 2020.


21 views0 comments
bottom of page