top of page
muinsapidin

Perak Jalin Kerjasama Bangun Modal Insan

IPOH: Pemain industri di seluruh negara digalakkan menjalinkan usahasama dengan kerajaan negeri dalam mengadakan lebih banyak program bagi memperkasakan modal insan secara sistematik dan mampan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany berkata, kerjasama DP Ghana Network dengan Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) merupakan satu contoh bagi kerjasama tersebut

Menurut Devamany, ketika perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, antara isu yang dibincangkan ialah aliran pendidikan yang tidak mengeluarkan graduan serta lepasan sekolah yang menepati kehendak industri.

“Justeru, pendekatan PHCDC untuk menjalinkan usahasama dengan pemain industri untuk mengumpulkan belia, ibu-ibu tunggal dan golongan sasar dalam karnival, akan melahirkan belia serba boleh, seterusnya barisan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang fleksibel dan berdaya saing,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Deepavali anjuran bersama PHCDC dan DP Gaana Network di perkarangan Mydin Meru pada Sabtu.

Devamany berkats, kunci utama bagi pembangunan modal insan adalah menempatkan belia-belia dan lepasan sekolah di alam industri sebenar bagi memberi mereka peluang untuk mendapatkan input serta latihan praktikal yang cekap dan berkualiti.

Sepanjang karnival sembilan hari itu, lebih daripada 150 pemain industri dari dalam dan luar negara mempamerkan barangan dan produk masing-masing yang telah menerima kunjungan lebih 150,000 orang.

Seorang peniaga, R Usharani berkata, keputusan untuk menyertai karnival itu merupakan satu peluang keemasan memandangkan beliau hanya memerlukan modal yang sederhana jika dibandingkan dengan keuntungan yang dikaut.

“Sebagai peniaga, jika kita hanya berniaga di satu kawasan, maka pelanggan akan bertumpu dari kawasan sama namun dengan Karnival Deepavali ini, kami akan menjelajah lima negeri di seluruh Malaysia maka keuntungan berlipat ganda.

“Semua usahawan juga akan menawarkan harga cukup murah dan berpatutan kerana kuantiti pelanggan yang banyak, jadi ini adalah platform ideal khususnya bagi rakyat Malaysia untuk berniaga dan menimba ilmu dalam keusahawanan,” katanya.


24 views0 comments
bottom of page