KUALA KANGSAR: Pemimpin-pemimpin dalam UMNO diingatkan agar taat setia kepada parti keramat itu kerana telah terbukti yang menderhaka kepada parti adalah pemimpin itu sendiri. Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Nazri Aziz, kesetiaan kepada parti yang ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO diperingkat akar umbi ketika ini adalah kukuh dan mantap.
Katanya, kerana kesetiaan kepada UMNO yang ditunjukkan oleh majoriti ahli parti pada hari inilah telah meletakkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak terus kekal menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Nazri berkata, kesetiaan dikalangan ahli UMNO diperingkat akar umbi sudah mantap dan perkara ini harus diingatkan kepada pemimpin kerana ramai yang menderhaka kepada parti itu adalah pemimpin itu sendiri. "Contohnya Dr Mahathir, Mohamed Taib, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal, Mukhriz, Rafidah Aziz semua ini menderhaka kepada pimimpin kerana mereka menunjukkan contoh yang tidak baik maka sebab itu bagi saya saranan supaya setia kepada parti mesti disarankan kepada pemimpin parti,’’ katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di Dewan Perdana Dato’ Maharaja Lela, MRSM Kuala Kangsar pada Ahad. Persidangan itu telah dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datu Mas Ermieyati Samsudin. Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Padang Rengas juga berpendapat lebih banyak parti yang ditubuhkan oleh bekas- bekas pemimpin parti ini akan membawa lebih kebaikkan kepada UMNO. Beliau berkata, ini kerana penubuhan parti-parti baharu sebenarnya akan memecah-belahkan pembangkang. "Saya galakkan supaya lebih banyak parti ditubuh saya harap shafie Apdal pun akan tubuh parti dia sendiri, Muhyiddin pun dah tubuh parti dia walaupun cuma lima enam orang sahaja kerana lebih banyak parti ditubuh kita faham mereka termasuk dalam golongan pembangkang. ``Jadi lebih banyak parti yang ditubuh oleh penderhaka-penderhaka ini, itu adalah lebih baik untuk UMNO kerana sudah tentu mereka akan merebut kerusi di antara mereka yang hendak bertanding dan memecah belahkan pembangkang,’’ katanya. Menurut Nazri, beliau optimis dengan penubuhan parti-parti baharu pembangkang ini nanti bukan sahaja akan memberi kebaikkan kepada UMNO malah memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke 14 akan datang.