top of page
muinsapidin

Kibar Jalur Gemilang Tanda Cinta Negara

TAIPING: Rakyat di seluruh negeri Perak diminta mengibarkan bendera Jalur Gemilang untuk menunjukkan rasa cinta mereka kepada negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, Jalur Gemilang bukanlah dilihat kepada materialnya tetapi ia sebenarnya adalah lambang keharmonian rakyat.

Berucap di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak di Dataran Warisan Taiping pada Sabtu, beliau berkata, rakyat negeri Perak harus bersyukur dengan keamanan yang dinikmati selama ini.

“Saya mahu ingatkan rakyat Perak supaya bersyukur, dan tanda kegembiraan itu hendaklah dinampakkan dengan kesediaan mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

“Kita dianugerahkan sebuah negara merdeka dan ketika kita berkumpul di sini dengan suasana aman damai, pada waktu yang sama di negara lain ada rakyat yang tidak mampu berkumpul atas faktor keselamatan selain rasa curiga antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu Saarani meminta supaya semua jabatan kerajaan dan orang ramai untuk memulakan tradisi memasang bendera Jalur Gemilang sehingga pertengahan September.

“Kibarkan jalur gemilang di rumah-rumah, pejabat, premis perniagaan, sekolah dan di seluruh jabatan kerajaan, malah di semua tempat yang orang ramai dapat lihat bendera berkibar.

“Sekurangnya dalam tempoh sebulan mulai esok sehingga 17 September iaitu Hari Malaysia, tetapi kalau teruskan sepanjang tahun, itu lebih baik dan digalakkan,” ujarnya.

Terdahulu dalam majlis yang sama, 80 kenderaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta kelab Proton Waja dan Perodua Kancil menyertai Konvoi Pengedaran Jalur Gemilang di hadapan Dataran Warisan Taiping.

Konvoi sejauh 17.4 kilometer itu bermula di dataran berkenaan dan berakhir di Padang Esplanade di sini.

Program tersebut akan diteruskan di beberapa zon daerah selepas ini dan akan berakhir di Bagan Datoh.


32 views0 comments
bottom of page