top of page
muinsapidin

150,000 Kunjungi Karnival Deepavali

IPOH: Lebih 150,000 orang mengunjungi Karnival Deepavali anjuran Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) yang diadakan di pasaraya Mydin Meru sejak seminggu lalu.

Karnival yang menampilkan lebih 150 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari dalam dan luar negara itu dianjurkan dengan kerjasama DP Gaana Network.

Ketua Pegawai Eksekutif PHCDC, S Thillainathan berkata, penganjuran karnival sembilan hari itu turut menjadikan Perak sebagai negeri pertama untuk mengadakan usahasama dengan pemain industri secara besar-besaran dan untuk jangka masa panjang.

“Perak merupakan negeri perintis bagi projek yang memperkasakan modal insan di antara pemain industri, DP Gaana, yang berpengalaman lebih 15 tahun mengumpulkan usahawan dalam dan luar negara.

“Kelainan karnival ini adalah PHCDC akan memainkan peranan menyalurkan lepasan sekolah, golongan ibu tunggal dan mereka yang berminat, untuk menjadi usahawan dan mengaut keuntungan serta menjana pendapatan di seluruh negara,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di Karnival Deepavali di perkarangan Mydin Meru pada Sabtu.

Thillai berkata, pendekatan PHCDC yang menyalurkan belia-belia serta rakyat negeri Perak dari pelbagai lapisan umur untuk menyertai karnival itu adalah ilham daripada kerajaan negeri serta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sendiri.

Menurut beliau, ia adalah untuk menyokong gagasan Perak Amanjaya dalam memastikan kemahiran dan keusahawanan menjadi salah satu teras kepada penjanaan pendapatan di dalam kalangan masyarakat.

“Karnival ini akan bermula di Perak dan selepas ini PHCDC juga akan terlibat dalam penganjurannya di beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Shah Alam dan menuju ke Kuala Lumpur sebagai acara kemuncak,” ujarnya.

Karnival itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif DP Ganaa Network, DP Gaana.


56 views0 comments
bottom of page