IPOH: Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Azizah Mohd Dun yakin ahlinya tidak akan terpengaruh dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, parti yang sedang dalam proses penubuhan itu ibarat seperti “nyamuk” kecil dan tidak akan berjaya mempengaruhi ahli-ahli UMNO, khususnya Wanita.
“Setiap kali mahu Pilihan Raya Umum (PRU), ada sahaja parti baru yang timbul, ada yang jadi parti nyamuk, kejap gigit sikit-sikitlah nanti kita sembur dengan macam-macam ubat, nanti mati lah.
“Setakat ini kami wanita tidak terpegaruh kerana semangat juang itu terlalu tinggi dan tidak akan ada apa-apa dapat mempengaruhi kesetiaan kami kepada parti,” katanya demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda adan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor pada Sabtu.
Menurut beliau, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai ada ahli yang bertindak keluar parti untuk menyertai Bersatu.
Sebaliknya, kata beliau, ahli Wanita akar umbi telah berikrar akan memberi sokongan lebih padu kepada UMNO dan memastikannya menang besar pada PRU-14 akan datang.
Tambah beliau lagi, mesyuarat bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara juga telah menunjukkan indikasi yang memberangsangkan di mana ahli-ahli UMNO sebulat suara menyokong kepimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
“Nyatanya kita mempunyai kehadiran yang ramai masa perwakilan di bahagian-bahagian dan mereka bersemangat sekali.
“Tidak ada tanda-tanda bahawa mereka ini tidak mahukan UMNO dan hendak ke parti lain, malahan lebih lagi dicabar, lebih tinggi lagi semangat-semangat orang UMNO ini,” ujarnya