top of page
muinsapidin

Pokemon Go Dilarang Di Kawasan Sensitif Mindef

BATU GAJAH: Aplikasi permainan Pokemon Go dilarang di kawasan-kawasan tertentu di Kementerian Pertahanan (Mindef) dekat ibu negara, bagi melindungi aset sensitif.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussin berkata, larangan itu dikeluarkan kerana aplikasi berkenaan dikhuatiri boleh mendedahkan aset sensitif negara.

Menurut beliau, elemen aplikasi tersebut yang merakam visual sekitar ketika pemain menangkap raksasa maya itu boleh mengancam keselamatam negara.

"Bila bermain permainan Pokemon Go ini, mereka akan buat rakaman dan dalam rakaman itu mungkin ada rakaman aset-aset yang sensitif, sebab itu saya arahkan bahagian risikan jangan benarkan sekurang-kurangnya di lokasi-lokasi sensitif.

"Kalau guna Google Earth pun kawasan sensitif tak dapat lihat seperti Empangan Bakun, jadi saya bimbang dengan aplikasi baru ini, kalau tak dapat tengok melalui Google Earth mereka sengaja atau memperalatkan individu warga kita di Mindef atas alasan permainan yang boleh menyebabkan aset-aset sensitif kita terancam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Gajah pada Sabtu.

Menurut Hishammuddin panglima ketiga-tiga cabang angkatan tentera (darat, udara dan laut) juga telah dimaklumkan untuk melakukan tindakan sama di kem masing-masing.

Namun, tambah beliau, keputusan larangan itu tertakluk kepada panglima-panglima berkenaan.

“Saya telah mengatakan kepada mereka memang harus diharamkan tetapi keputusan mengharamkan di kawasan berkenaan bergantung kepada pihak yang berkuasa di kawasan-kawasan berkenaan.

"Sebab itu, kita akan tunggu keputusan panglima-panglima kita, tetapi di Mindef saya boleh buat keputusan dengan tak benarkan," ujarnya.


6 views0 comments
bottom of page