Pendidikan merupakan satu-satunya kunci bagi menggerakan mobiliti sosial kalangan masyarkat untuk membasmi masalah kemiskinan secara menyeluruh, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau yakin usaha untuk meningkatkan status sosial seseorang daripada tahap rendah ke aras lebih baik boleh dilaksanakan dan digerakan dengan menyediakan peluang pendidikan mampan.
Katanya, perubahan taraf hidup untuk keluar daripada kepompong kemiskinan bermula daripada suntikan pendidikan yang mantap untuk membawa mereka yang tergolong dalam status ekonomi miskin tegar kepada seseorang yang berjaya baik di bidang politik, perindustrian, cendekiawan dan usahawan bertaraf antarabangsa.
“ Banyak kisah kejayaan yang boleh saya kongsikan mengenai kejayaan individu di seluruh Malaysia mengenai menteri-menteri, pemimpin korporat dalam tempoh 30 hingga 50 tahun yang bermula daripada bawah, dan berlatarbelakang hidup yang cukup susah dan miskin sebelum ini.
“Kita mesti memberi tumpuan sepenuhnya dalam memastikan kesemua individu di negeri dan daerah kita mendapat pendidikan dan hak untuk belajar agar mereka boleh menggunakannya satu masa nanti untuk membantu yang lain, selain menyumbang dalam mengurangkan risiko penyakit, membasmi kebuluran, buta huruf dan dibelenggu ketakutan oleh hidup dalam kemiskinan,”katanya.
Menteri Besar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Pembangunan Modal Insan Sebagai Pemacu Utama Untuk Pembangunan Inklusif dan Mampan- Pengalaman Malaysia di Persidangan Modal Insan Sri Lanka 2016 semalam.
Tambahnya, dalam konteks makro, pendidikan merupakan tunjang utama untuk membina sebuah negara yang aman, berkelimpahan dan berfikiran global dalam mendepani pelbagai cabaran dari pelbagai sudut di seluruh dunia.
“ Jika kita hendak menyelesaikan masalah sosioekonomi, jika kita hendak berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain yang penuh dengan persaingan dan pasaran integrasi yang terus berkembang, jika kita hendak mendapat manfaat daripada evolusi sains dan teknologi, dan jika kita hendak menyelesaikan konflik global dan serantau.
“ Maka kita perlu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melatih minda kita dengan pengisian akademik kerana inilah pintu kepada pengubahsuaian perilaku dan sikap manusia,”katanya.
Tegasnya, ramai yang tidak menyedari bahawa kekurangan kemahiran dan pendidikan di peringkat asas telah menimbulkan jurang yang ketara dalam ketidakseimbangan di antara negara yang merangkumi pembangunan dan permasalahan yang perlu diatasi bersama oleh kesemua pihak.
Beliau juga yakin bahawa Malaysia dan Sri Lanka mampu bergerak bersama untuk mengenalpasti sebarang permasalahan global dan adalah menjadi harapan beliau untuk melihat usahasama erat di antara kedua negara membanguna tersebut.
“ Perjalanan kita untuk mengemudi pembangunan modal insan di Sri Lanka, dan Malaysia masih jauh dan saya berharap agar kesemua idea dan pendapat yang dikongsi pada hari ini mampu menjadi satu penanda aras untuk persefahaman dalam sebarang perancangan kedua-dua negara untuk kebaikan rakyat kelak,”katanya lagi.