Pembangunan modal insan penting bagi mendorong perubahan sosial sesebuah negara yang ingin mencapai status negara maju, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Katanya modal insan merupakan teras kepada pembangunan inklusif dan mampan yang mampu membawa perubahan berkesan kepada semua industri.
“Malaysia dengan identitinya yang berbilang bangsa, budaya dan agama memerlukan kerajaan yang mampu mengurus dengan baik bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat yang pelbagai.
“Sejak merdeka, kita (Malaysia) telah berjaya secara drastik menurunkan masalah kemiskinan dan mengurangkan jurang ketidakseimbangan pendapatan melalui pelbagai polisi transformasi,"
"Antaranya Polisi Ekonomi Baru, Polisi Pembangunan Ekonomi, Pelan Pembangunan Negara, dan Model Ekonomi Baru yang mana telah berjaya mewujudkan 1.8 pekerjaan baru, seterusnya memastikan kadar inflasi yang rendah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Sri Lankan Human Capital Summit 2016 di Colombo, Sri Lanka malam tadi.
Dr Zambry berkata kemampuan melaksanakan langkah tepat bagi memacu ekonomi adalah kerana negara ini mempunyai kepimpinan dan ekosistem yang baik.
"Pelaburan yang dilakukan kerajaan dalam bidang pendidikan telah memainkan peranan penting dalam mengubah kedudukan sosial dan kesejahteraan masyarakat di negara ini"
“Kewujudan modal insan terlatih juga penting bagi menyokong peralihan kesemua sektor ekonomi kepada yang berteraskan pengetahuan, pengurusan tenaga kerja, kelebihan produktiviti, yang merupakan tarikan pelaburan bagi negara ini.
Katanya Malaysia akan terus memperkukuhkan agenda melahirkan modal insan yang dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran, sikap yang sesuai denhan ekonomi global masa kini.
Kerajaan, katanya, akan terus memberi fokus kepada empat perkara iaitu menambahbaik kecepakan pasaran tenaga kerja, mentransformasi pendidikan teknikal dan vokasional, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan memperbaiki kualiti sistem pendidikan negara.
Menyentuh mengenai negeri Perak, Dr Zambry berkata kerajaan negeri telah memperkenalkan pelan komprehensif transformasi di bawah gagasan Perak Amanjaya.
Menurutnya gagasan itu memberi fokus kepada pembangunan sosial, ekonomi, kawasan setempat dan transformasi institusi ke arah mewujudkan lebih banyak peluang, pendapatan dan kehidupan berkualiti bagi rakyat Perak.
"Kita juga telah melaksanakan beberapa siri program transformasi untuk semua agensi milik kerajaan (GLCs) yang mana di bawah inisiatif ianya bertujuan membantu kerajaan menanggani cabaran dan peluang yang ada.
Sidang kemuncak itu dirasmikan Perdana Menteri Sri Lanka Ranji Wickremesinghe.