top of page
muinsapidin

TIC Perkenal Program SGS Untuk Bantu Penuntut

IPOH: Terkesan dengan kesempitan hidup penuntut institusi pengajian tinggi sehingga terpaksa mengikat perut, Taj International College (TIC) memperkenalkan program Saya Get Students (SGS) untuk membantu penuntutnya menjana pendapatan.

Melalui program itu, TIC memberi insentif sebanyak RM500) kepada setiap penuntutnya yang dapat membawa masuk seorang penuntut baru ke kolej tersebut.

Ketua Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, pihaknya ingin berkongsi manfaat yang mereka perolehi dengan para pelajar yang berminat.

Menurut beliau, selain insentif wang tunai, pihaknya turut menyediakan pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1 juta, seperti telefon bimbit, pakej umrah dan percutian, di samping hadiah utama sebuah kereta.

“Saya rasa sudah tiba masanya, dunia pendidikan ini membantu pelajar-pelajar yang sedia ada daripada mereka hanya duduk tiga tahun belajar tanpa menghasilkan apa-apa usaha.

“Jadi di sinilah inkubator yang kita adakan. Di samping itu kita juga terapkan konsep-konsep e-usahawan yang kita bina di sini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kelab SGS di TIC di sini pada Jumaat.

Tina memberitahu, pihaknya juga menyediakan latihan dan kursus yang bersesuaian untuk memastikan penuntut mencapai matlamat utama dalam pembelajaran di samping mampu menjadi usahawan.

Katanya, TIC juga membekalkan setiap pelajarnya sebuah tablet yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian.


16 views0 comments
bottom of page