top of page
muinsapidin

Rundingan Gagal, Penculik Ditembak Mati

BATU PAHAT - Seorang penjenayah yang berusia 44 tahun, yang menjadikan pemilik sebuah kedai tembikar di Ayer Hitam, di sini, sebagai tebusannya telah ditembak mati oleh sepasukan polis yang menyerbu kawasan berkenaan.

Suspek yang mula menjadikan pemilik kedai tembikar berkenaan sebagai tebusannya sejak jam 8.20 itu akhirnya telah ditembak mati pada jam 12.30 tengah malam tadi, apabila rundingan gagal.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, suspek meluru masuk ke kedai mangsa dan kemudian mengugutnya menyerahkan wang tunai sejumlah RM300,000.

Katanya, keengganan mangsa menyerahkan wang berkenaan telah menyebabkan mangsa yang berusia 53 tahun itu diheret ke dalam bilik di belakang kedai berkenaan dan dijadikan tebusan.

“Sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa dan rundingan di anara suspek dan juga pihak polis dilakukan agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Namun, setelah hampir empat jam rundingan berkenaan gagal dan suspek mula mengacukan pistol untuk menembak mangsa, anggota bertugas menembak suspek dengan dua das tembakan,” katanya.

Tambah Abdul Wahib, mengsa kemudiannya berjaya diselamatkan dan suspek mati di tempat kejadian akibat daripada tembakan yang dilakukan oleh anggota bertugas

Katanya, mangsa yang terus dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan masih trauma dengan kejadian yang telah berlaku terhadap dirinya.

“Pihak polis berjaya menemui dua pucuk pistol bersama suspek yang digunakannya untuk kes culik ini dirampas dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Culik dan Seksyen 8, Akta Senjata Api,” katanya.


12 views0 comments
bottom of page