top of page
muinsapidin

Lelaki Disangka Monyet Cedera Ditembak

IPOH: Seorang lelaki yang disangka monyet cedera ditembak oleh seorang pesara kerajaan di Kampung Chepor Dalam, dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima laporan daripada pesara kerajaan yang melepaskan tembakan dalam kejadian sekitar 1.40 petang.

"Pada petang itu, pesara pegawai kerajaan berkenaan sedang berada di rumah abang iparnya dan ketika sedang berehat beliau telah terlihat satu pergerakan di atas pokok rambutan yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari tempat beliau berehat.

"Beliau mengesyaki pergerakan itu adalah monyet dan terus mengeluarkan senjata api miliknya sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah pokok itu," katanya kepada pemberita.

Jelasnya, selepas melepaskan tembakan pesara itu tiba-tiba terdengar satu suara keluhan kesakitan dan terus memeriksa ke arah pokok sebelum mendapati seorang lelaki telah cedera di bahagian lengan kanan.

Chang Keong berkata, pesara berkenaan terus bergegas membawa lelaki tersebut untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

"Kami akan meneruskan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960," katanya lagi.


6 views0 comments
bottom of page