top of page
muinsapidin

Impak Pelan Transformasi Perak Semakin Ketara

IPOH: Pelan transformasi pembangunan sosial Perak telah menampakkan impak positif berkat usaha pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan yang sentiasa memberi kerjasama kepada perancangan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, prinsip utama dalam kejayaan itu adalah mengenalpasti punca masalah, menyelami hati rakyat serta mencari jalan penyelesaian ke dalam sebarang permasalahn yang dihadapi.

Menurut beliau, adalah menjadi asas kepada semua kepimpinan negeri dan agensi di bawahnya untuk mengenalpasti penyelesaian masalah dan bukannya kepada masalah tersebut semata-mata, "output" berbanding "input".

“Selepas mendapat mandat dan kepercayaan sebagai Menteri Besar, saya telah melaksanakan satu inisiatif untuk memperkenalkan sebuah pelan tindakan transformasi yang merangkumi empat bidang strategik bagi negeri ini.

“Antaranya ialah bidang sosial, ekonomi, transformasi secara institusi dan serantau ke arah mengalakkan peluang, pendapatan dan perumahan secara berkualiti untuk rakyat di negeri ini.

“Kini kesannya sudah mula dirasai dan terbukti dengan beberapa siri kejayaan yang membawa Perak di arena antarabangsa sebagai negeri yang mampu bersaing dan setanding dengan negeri maju seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Pembangunan Modal Insan Sebagai Pemacu Utama Untuk Pembangunan Inklusif dan Mampan- Pengalaman Malaysia di Persidangan Modal Insan Sri Lanka 2016 baru-baru ini.

Dr Zambry berkata, beliau sering menekankan bahawa dalam gerak kerja transformasi itu, tiada seorang pun terkecuali daripada merasai tempias pembangunan sejagat yang merangkumi kesemua peringkat umur baik dari segi latihan vokasional, kebudayaan dan pemerkasaan wanita secara khusus.

Menurutnya, antara institusi dan badan kerajaan yang membantu dalam transformasi sosial untuk memperkasakan anak-anak Perak melalui aktiviti pemangkin idea dan tindakan adalah seperti Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU).

Katanya, kedua-dua entiti itu dibina dengan harapan untuk memacu perancangan dan susun atur strategi sistematik bagi menguraikan masalah mobiliti sosial di kalangan penduduk yang miskin.

Dr Zambry memberitahu, pihaknya tidak melupakan teras kedua dalam sasaran Perak Amanjaya iaitu untuk mewujudkan pendidikan formal dan tidak formal serta peluang untuk mendapatkan latihan vokasional bagi melahirkan masyarakat yang berkemahiran dan berpengetahuan.

Katanya, sejak tujuh tahun lalu, pelbagai program telah dilancarkan termasuklah Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA), Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) serta Hostel Amanjaya (ASAH) dan ia hanyalah sebahagian daripada pelan perancangan negeri untuk membangunkan pemerkasaan belia secara bersepadu.

“PeKA, sehingga hari ini telah memberikan peluang pekerjaan kepada 40,000 belia dalam tempoh masa lima tahun dan PORT pula merupakan platform kepada artis tempatan yang baru sahaja bertapak dan mencuba nasib dalam bidang seni dan muzik sekaligus merupakan keusahawanan mikro kepada karier mereka di dalam bidang kebudayaan dan kesenian.

“ASAH pula merupakan hostel atau asrama bagi kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun yang memperolehi keputusan akademik sederhana serta berasal dari keluarga miskin.

“Ia dibina agar mereka dapat meningkatkan prestasi akademik, dan kebanyakan daripada mereka telah melanjutkan pengajian ke peringkat sekolah berasrama penuh dan universiti terbaik di seluruh negara,” ujarnya.

Menurut Dr Zambry, sebuah negeri yang membangun secara sihat adalah sistem pengurusannya yang membolehkan kemasukan syarikat dan industri serta perusahaan yang menawarkan peluang keusahawanan serta pekerjaan yang seimbang dan pelbagai kepada rakyat di negeri Perak secara amnya.

“Hari ini, Ipoh telah dipilh sebagai destinasi ketiga teratas untuk lokasi persaraan di seluruh dunia manakala tempat keenam sebagai lokasi wajib dalam pelancongan di Asia, ia adalah usahasama semua pihak dalam memberikan yang terbaik untuk rakyat negeri ini serta semua yang bertandang ke Perak,” katanya lagi.

Beliau berkata, perkara yang menjadi keutamaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat adalah dengan membina sebuah institusi yang teguh serta berkredibiliti dan pembangunan inklusif ini hanya boleh dicapai melalui muafakat, sifat keterbukaan di samping sedia menerima satu lonjakan paradigma untuk kebaikan bersama.


20 views0 comments
bottom of page