IPOH: Buat pertama kalinya di Malaysia, Festival Antarabangsa Reggae 2016 akan diadakan di pekarangan kapal korek TT5 di Tanjung Tualang, sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan Tahun Melawat Perak 2017.
Festival percuma yang bertemakan Drug Free Music itu dianjurkan Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) dengan kerjasama Malaysia International Reggae Society dan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri Perak, Tourism Perak dan MB Inc.
Ahli Lembaga Pengarah PORT, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, festival yang akan diadakan pada 2 dan 3 September itu, antara lain untuk mempromosikan TT5 dan Geopark Kinta Valley sebagai tarikan pelancongan.
“Kita juga mendapat kerjasama daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi menukar persep dan tanggapan orang ramai terhadap muzik reggae yang sering dikaitkan dengan gejala dadah,” katanya ketika sidang media di PORT pada Jumaat.
Hadir sama Presiden / Pengasas Malaysia International Reggae Society, Fauzi Ahmad yang lebih dikenali sebagai Poe dan Pengurus PORT, Zamari Muhyi.
Zainol memberitahu, antara kumpulan reggae tempatan yang akan membuat persembahan ialah Poe & The Retired Stoners, Republic of Brickfield, Balok People, Selayang, Sharpshooters, JA Gwaa, Rasta Syndicate dan Purevibracion.
Manakala kumpulan reggae antarabangsa yang tampil ialah Jeck Pilpil & Peacepipe (Filipina), The Rhythm Hunter (Australia), Nu Reggae (Thailand), Clifftones (Sweeden), One Planet (Australia), Uncle B Reggae (Indonesia), Made In Made (Acheh, Indonesia), Kumbang Teratai (Indonesia), Meshwar (Egypt), The Small Axe (Indonesia) dan Pie In The Sky (Australia).
“Diharapkan pengajuran seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang untuk mengembalikan nostalgia peminat reggae, sekaligus menukar tanggapan tentang pembabitan dadah yang sering dikaitkan dengan musik genre ini,” ujarnya.
Sementara itu, Poe berkata, festival seumpama ini diadakan setiap tahun di seluruh dunia kerana ia mempunyai peminat setia, termasuk dari negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Jurucakap MB Inc, Harris Iskandar Taib pula berkata, pihaknya akan memastikan kawalan keselamatan yang mencukupi di kawasan berkenaan kerana kerja-kerja baik pulih TT5 hanya akan siap sepenuhnya hujung tahun ini.
Sementara itu, Zamari memberitahu, sepanjang festival itu, pihaknya juga akan menyediakan tapak untuk peniaga makanan dan food truck bagi memberi peluang peniaga berkenaan menjana pendapatan.