WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Calon kontroversi Parti Republikan, Donald Trump didakwa membuat 'ancaman bunuh' ke atas pesaingnya, Hillary Clinton, ketika berucap dalam satu perhimpunan di Wilmington, North Carolina, kelmarin.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika bercakap tentang kuasa presiden baharu yang akan melantik Hakim Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat (AS).
Trump (kiri) didakwa menggalakkan penyokong hak senjata api supaya menembak Hillary.
"Hillary sememangnya mahu menghapuskan pindaan kedua. Tiada apa yang anda boleh lakukan jika hakim dilantik oleh beliau," katanya merujuk kepada pindaan kedua dalam Perlembagaan yang merujuk hak rakyat AS untuk membawa senjata.
Jutawan hartanah terbabit dikatakan menggalakkan penyokong hak senjata api menggunakan pindaan kedua untuk menembak Hillary, namun ia disambut sorakan 'boo' selain ramai bertindak meninggalkan dewan tersebut.
Kenyataan luar biasa itu turut dikecam pengurus kempen bekas Setiausaha Negara AS itu, Robby Mook.
"Apa yang dikatakan oleh Trump sememangnya berbahaya. Seseorang yang mahu menjadi presiden AS tidak sepatutnya mencadangkan keganasan seperti itu," katanya.
Sementara itu, Senator Connecticut, Chris Murphy menegaskan ia tidak wajar dianggap sebagai kesilapan politik kerana ia jelas satu ancaman bunuh.
Difahamkan, Hillary tidak pernah mencadangkan hak pindaan kedua dimansuhkan sebaliknya hanya menggesa peraturan tambahan bagi mengurangkan jumlah tembakan maut di negara itu. - Agensi