top of page
muinsapidin

Pemandu Lori Maut, Kalendan Cedera Parah Kemalangan Di Kampar

KAMPAR: Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah lori di Kilometer 310.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat sini pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian sekitar 5 pagi itu, mangsa, Muhd Fahmi Abdon @Lazim, 35, yang memandu lori jenis Isuzu maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang di dalam kenderaan tersebut mengalami kecederaan parah.

Gambar Hiasan

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan mangsa yang sedang menghala ke Kuala Lumpur daripada Ipoh, dikatakan merempuh bahagian belakang sebuah lori di tempat kejadian.

"Lori mangsa telah terlanggar sebuah lori lain di lokasi kejadian dan berikutan impak rempuhan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang cedera parah dan seorang lagi penumpang dalam kenderaan sama mengalami kecederaan ringan,” katanya pada Khamis.

Bagaimanapun, kata beliau, pemandu sebuah lagi lori terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Jabatan Forensik di Hospital Kampar untuk bedah siasat dan kelindannya yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan lanjut

Kong Soon berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati bahawa jalan di lokasi kejadian adalah lurus, gelap tanpa sebarang lampu dan kenderaan lori dipandu oleh mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

"Tiada sebarang tangkapan dilakukan bagi kejadian tersebut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.


28 views0 comments
bottom of page