IPOH: Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP) akan menganjurkan Anugerah Media Peladang sebagai salah satu usaha untuk merapatkan penulisan mengenai pertanian dengan masyarakat.
Penaung KSKMP, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, anugerah itu dijangka diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini pada 9 September depan.
Menurut beliau, anugerah itu terbuka kepada semua wartawan media cetak, elektronik (televisyen serta radio) dan portal di dalam semua bahasa, termasuk Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
“Kita mempunyai panel bebas yang akan memilih hasil penulisan atau penerbitan untuk memenangi lima kategori yang dipertandingkan,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Beliau memberitahu, lima kategori itu ialah Anugerah Kewartawanan Media Cetak, Anugerah Kewartawanan Penyiaran Televisyen, Anugerah Kewartawanan Penyiaran Radio, Anugerah Kewartawanan Foto dan Anugerah Kewartawanan Muda.
Menurutnya, pemenang pertama setiap kategori akan memenangi trophi, wang tunai RM700 dan sijil, manakala kedua akan memenangi trophi, wang tunai RM500 serta sijil dan tempat ketiga menerima trophi, wang tunai RM300 berserta sijil.
Raja Ahmad Zainuddin berkata, bahan penyertaan yang diterbitkan dari 1 Januari 2014 hingga 13 Ogos 2016 layak untuk menyertai anugerah itu dan tarikh tutup penyertaan pada 30 Ogos 2016.
Katanya, borang pencalonan dan syarat-syarat pertandingan boleh diperolehi melalui laman web seperti berikut: - https://goo.gl/forms/cUhPXf051brcGkow2.
Beliau menambah, borang yang telah lengkap boleh dihantar bersama-sama bahan penyertaan kepada Anugerah Peladang, Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, No. 22-A, Medan Istana 1, Bandar Ipoh Raya, 30000 Ipoh.