top of page
muinsapidin

Dicekup Curi Bateri Jentolak

KUANTAN - Dua lelaki dicekup selepas disyaki mencuri empat bateri jentolak di sebuah kawasan di Gambang, di sini, petang kelmarin.

Suspek berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan orang ramai yang menyedari perbuatan jenayah mereka sebelum diserahkan kepada polis.

Bateri yang dirampas daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebaik menerima maklumat, anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Gambang bergegas ke lokasi dinyatakan pada kira-kira jam 1 tengah hari, sebelum menahan semula kedua-dua suspek terbabit.

Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis menemui dan merampas empat bateri yang dicuri.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke balai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas dari sebarang pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya melakukan siasatan, sama ada suspek terlibat dalam kes jenayah lain atau kes kecurian komponen jentera di daerah ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan selepas didapati menceroboh masuk asrama sebuah kolej di Semambu di sini, malam kelmarin.

Katanya, suspek berusia 33 tahun itu ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) selepas diserahkan warden asrama yang memberkasnya.

“Suspek dibawa balik ke balai dan hasil ujian saringan air kencing mendapati, dia positif dadah jenis amphetamine.

“Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.


30 views0 comments
bottom of page