WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Seramai 50 pegawai keselamatan Republikan, kelmarin sepakat menolak calon presiden kontroversi yang akan mewakili parti itu.
Mereka turut memberi amaran Donald Trump bakal menjadi presiden paling semborono dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) jika beliau berjaya merebut jawatan ke Rumah Putih tersebut.
Sebahagian daripada mereka termasuk bekas ketua keselamatan dalam negeri, pengarah risikan, penasihat kanan presiden dan bekas wakil perdagangan yang pernah berkhidmat di bawah kepimpinan bekas Presiden Republikan Richard Nixon hingga George W Bush juga telah mengumumkan tidak akan mengundi jutawan hartanah tersebut.
"Kami yakin Trump akan menjadi presiden paling bahaya dan bakal menggugat keselamatan negara. Beliau tidak menunjukkan kesediaan untuk belajar tentang hal ehwal luar atau cara berdepan dengan ancaman keselamatan selain sering menunjukkan kejahilannya dalam politik antarabangsa.
"Trump jelas tidak ada ciri dan pengalaman untuk menjadi presiden," jelas mereka dalam kenyataan diterbitkan menerusi The New York Times. - AFP