top of page
muinsapidin

Projek PPR Seri Iskandar, Taiping Tiada Unsur Rasuah - Rusnah

IPOH: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan pembangkang wujud unsur rasuah berhubung pembinaan rumah kos rendah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sedang dibangunkan di Seri Iskandar dan Taiping.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Rusnah Kassim projek PPR di dua lokasi itu yang dilaksanakan Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menawarkan harga paling berpatutan.

Katanya harga RM165,000 seunit yang ditetapkan telah mengambil kira kos pembelian tanah, pembinaan bangunan serta kos infrastruktur dan utility.

Sebagai contoh, beliau berkata, JPN telah membeli tanah tersebut daripada syarikat swasta dengan harga RM2.6 juta bagi projek PPR di Seri Iskandar dan RM4 juta bagi projek PPR di Taiping.

“Ingin saya tekankan bahawa RM165,000 itu termasuk harga pembelian tanah, kos pembinaan bangunan itu sendiri, kos infrastruktur dan kos utiliti, itulah kadar yang harus ditawar kepada pembeli.

“Walaupun kos seunit rumah adalah pada RM165,000, keluarga yang kurang berkemampuan tetap akan dapat memiliki rumah-rumah ini kerana kerajaan telah memutuskan memberi subsidi supaya mereka yang berkelayakan dapat beli rumah pada harga RM35,000. Ini bermakna subsidi kerajaan adalah sebanyak RM130,000 bagi setiap unit rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Rabu.

Rusnah membuat penjelasan ini sebagai mengulas kenyataan Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mendesak kerajaan negeri Perak memberi penjelasan berhubung isu harga sebuah rumah bagi PPR khususnya bagi rumah kos rendah yang didakwa bernilai RM165,000.

Koo Ham mendakwa nilai berkenaan didapati melebihi kadar harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan negeri sebelum ini iaitu RM70,000 bagi rumah kos rendah dan RM70,000 hingga RM140,000 bagi rumah kos sederhana.

Rusnah turut menemplak Ngeh yang mengaitkan seolah-olah kerajaan negeri telah melanggar dasarnya yang meletakkan harga rumah kos rendah pada RM70,000 ke bawah.

“Dia kata kerajaan negeri ada dasar yang menyebut rumah kos rendah mesti pada harga RM70,000 ke bawah…ya itu betul.

Tetapi dia perlu lihat harga RM165,000 yang kita letak itu termasuklah kos tanah dan pembangunan keseluruhan projek,’’ katanya.

Menurutnya lagi kedua-dua projek PPR itu tidak dilaksanakan di tanah kerajaan berikutan tiada lagi kekosongan tanah kerajaan di kawasan sekitar bandar.

“Projek PPR ini merupakan sebahagian langkah menyelesaikan masalah perumahan melibatkan keluarga miskin bandar. Selain daripada itu, kita juga tidak mahu menetapkan projek PPR ini mesti di luar bandar atau jauh di pendalaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Rusnah mengakui kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan yang terancang bagi melaksanakan projek perumahan rakyat.

Walau bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menetapkan setiap kawasan projek perumahan yang diluluskan, pemaju perlu memperuntukan 10 peratus bagi membina rumah kos rendah.

“Misalnya, kita lulus 20 ekar tetapi pemaju disyaratkan memperuntukan 10 peratus sahaja untuk bina rumah kos rendah. Kalau projek perumahan itu melibatkan 1,000 unit rumah, hanya 100 unit sahaja mereka perlu bina rumah kos rendah manakala 20 peratus untuk rumah mampu milik dan bakinya rumah pada harga harga terbuka sehingga RM1 juta pun boleh,” katanya.


71 views0 comments
bottom of page