top of page
muinsapidin

Mimpi Rumah Terbakar Jadi Nyata

KUALA NERANG- Mimpi seorang isteri, Zaharah Md Rejab mengenai kebakaran, menjadi kenyataan apabila sebahagian rumahnya terbakar di Kampung Kuala Kejai, Mukim Padang Temak kelmarin.

Azahari Ahmad, 48, berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 5 petang ketika dia berada di dalam rumah bersama anaknya, Nur Faizatul Ain, 5.

Azahari melihat buku-buku dan pakaian anak-anaknya musnah dalam kebakaran di rumahnya

di Kampung Kuala Kejai kelmarin

“Pada masa itu saya sedang mengasah pisau menoreh untuk ke kebun. Tiba-tiba saya terdengar letupan di atas rumah terbau sesuatu terbakar. Apabila saya naik ke tingkat atas, saya dapati plag yang terdi dinding sudah terbakar.

“Saya turun mengambil air untuk memadam tetapi api semakin marak hingga menyebabkan belakang badan saya turut disambar api. Dinding bilik atas turut terbakar," katanya.

Bimbang dengan api yang semakin marak, kata Azahari, dia membawa anak perempuannya ke luar menyelamatkan diri dan sempat membawa beberapa dokumen keluarganya.

Katanya, dengan bantuan jiran, dia sekali lagi cuba memadam api yang sudah memusnahkan bilik atas.

"Saya sangat berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan jiran kerana datang membantu serta berjaya mengawal api sebelum merebak ke ruang tamu dan dapur rumah.

"Bagaimanapun saya berasa sangat sedih kerana segala kelengkapan persekolahan anak-anak musnah apatah lagi seorang daripadanya akan mengambil PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga),” ujarnya.

Menurut Azahari, seminggu sebelum itu isterinya bermimpi bilik atas dan bawah rumah terbakar hingga menyebabkan keseluruhan barangan simpanan mereka juga turut musnah, namun menganggapnya mainan tidur.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Pegawai Bomba, Mohd Hafizie Hassan berkata, pihaknya mendapat panggilan pada jam 5.10 petang.

Kebakaran itu mendapat perhatian dari Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Yayasan Kemiskinan Kedah (Yaked) yang turut menghulurkan sumbangan.

Pengarah Yaked, Roslan Abd Rahman berkata, sebagai bantuan pertama, pihaknya akan menyediakan keperluan asas dan persekolahan anak-anak mangsa.


23 views0 comments
bottom of page