KUANTAN - Gara-gara hutang judi anak, sepasang suami isteri hidup kini hidup dalam ketakutan apabila diancam dan diugut oleh samseng mesin judi haram.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Tan berkata, dia dan isterinya diganggu samseng terbabit yang datang ke rumah mereka di Jaya Gading, di sini untuk menuntut hutang berjumlah RM50,000 sejak bulan lepas.
Lelaki berusia 63 tahun itu berkata, anak mereka yang merupakan seorang OKU, berhutang akibat bermain mesin kuda.
Katanya, anaknya yang berusia 22 tahun dan mengalami masalah pembelajaran (lembam) bekerja di premis perjudian itu sejak Februari lalu.
“Anak bongsu saya sudah hampir 20 hari tidak pulang ke rumah dan dalam tempoh itu, sudah tiga kali samseng datang ke rumah mereka,” katanya ketika menerima kunjungan Adun Teruntum, Sim Chon Siang di rumahnya, semalam.
Tan berkata, samseng terbabit memaksa dia dan isteri membayar hutang terbabit secara ansuran iaitu RM2,000 sebulan.
“Kali pertama samseng datang, dia beritahu anak saya hutang RM24,000 dan kelmarin, dia cakap sudah naik RM50,000.
“Saya pernah bagi RM5,000 dan minta jangan kacau saya dan isteri sebaliknya minta sendiri dengan anak saya yang berhutang,” katanya.
Pemandu lori balak itu berkata, dalam kejadian terbaru, samseng berkenaan bertindak memecahkan pintu rumah apabila dia enggan menyerahkan wang diminta, kira-kira jam 7.20 malam kelmarin.
Menurutnya, mereka berdua terpaksa mempertahankan diri walaupun isterinya cedera di kepala sebelum membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading.
“Saya sendiri tak tahu di mana anak kami berada kerana dia sudah 20 hari tak balik rumah.
“Anak kami ni lembam dan sudah pasti saya bimbang keselamatannya. Sekarang, dia diburu samseng pula,” katanya.
Dia berkata, samseng tersebut turut mengugut akan membunuh anaknya jika pemuda itu dijumpai.