IPOH: Tanggapan sinis terhadap kaedah penyusuan bayi secara terbuka kini bukan lagi menjadi isu memandangkan terdapat banyak kemudahan yang disediakan khusus buat para ibu di tempat awam. Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, kesedaran mengenai kepentingan susu ibu dan kemudahan tempat khas penyusuan ibu kini semakin dititkberatkan.
Menurut beliau, penyusuan susu ibu tidak terbatas ketika ibu bersama bayi sahaja, malah ia kini boleh dilakukan di tempat awam kerana banyak kemudahan telah disediakan.
"Kalau kita lihat sekarang di pusat membeli belah telah ada yang mengambil inisiatif menyediakan bilik khas menyusukan bayi, sebagai seorang Islam pun ada alternatif untuk cari surau berhampiran," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2016 di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim pada Rabu. Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr. Juita Ghazalie, Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Ir. Safry Kamal Ahmad dan Pegawai Daerah Muallim, Nor Sham Rahman.
Saripah berkata, rekaan pelbagai busana muslimah khas untuk penyusuan bayi juga memberi banyak faedah dan keselesaan kepada para ibu. "Saya lihat sekarang pengguna begitu kreatif mencipta pakaian ataupun yang dikenali sebagai 'cover nursing' yang digunakan kaum ibu untuk menyusukan bayi di mana-mana sahaja. "Ia sangat sopan dan tidak menimbulkan pandangan yang tidak menyenangkan kepada umum," katanya. Sementara itu, Dr. Juita turut menyambut saranan penyusuan terbuka itu yang dianggap sebagai makanan awal terbaik buat anak. Beliau memberitahu, tahun ini, peratus penyusuan eksklusif di Perak meningkat kepada 56 peratus, mengatasi pencapaian kebangsaan iaitu 47.5 peratus di mana daerah Batang Padang sahaja mencatatkan 67.4 peratus. "Susu ibu juga dapat memberi antibodi kepada bayi selain mengelakkan jangkitan penyakit," kata beliau.