top of page
muinsapidin

Jun Hoong Niat Menang Olimpik Sejak Berusia 10 Tahun

IPOH: Keluarga penyumbang pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Rio, Cheong Jun Hoong turut berbangga kerana cita-cita gadis berusia 26 tahun itu untuk memenangi pingat di peringkat tertinggi akhirnya tercapai.

Menurut mereka, Jun Hoong yang memenangi pingat perak bersama-sama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama, sebenarnya telah memasang cita-cita itu sejak berusia 10 tahun lagi.

Menurut ibunya, Leow Lai Kuan, 50, anak sulungnya itu amat komited mengejar cita-citanya itu sejak mengenali sukan air ketika berusia seawal 9 tahun dan kerap berlatih walaupun pada musim cuti sekolah.

“Ketika berusia 14 tahun, dia dah pergi ke Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk mengejar cita-citanya itu dan pada usia 15 tahun, dia telah berjaya memenangi pingat luar negara pertamanya di Thailand.

“Dia memang mengemari apa yang dibuatnya dan kejayaan di Rio amat-amat membanggakan kami sekeluarga, saya amat terharu ketika ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kepayang dekat ini pada Rabu.

Menurutnya, kakak kepada dua orang adik perempuan itu turut sempat menghubungi keluarga sebelum bertolak ke Rio, menyatakan rasa tidak sabar untuk bertanding dan memohon doa bagi kejayaannya.

Adik Jun Hoong, Jun Yeng, 23, pula berkata, semua ahli keluarga tidak menyangka kakaknya yang merupakan wanita pertama memenangi pingat Olimpik dari Perak, kini setaraf dengan penerjun elit dunia.

Tambah beliau, lebih manis kakanya itu berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam sukan yang sangat diminatinya.

“Semalam kami sekeluarga amat-amat gementar melihat kakak di televisyen, setiap kali dia bersama Pandalela membuat terjunan dan mengira mata-mata yang dikutipnya.

“Apabila kakak diumumkan sebagai pemenang pingat perak, kami sekeluarga menjerit kegembiraan dan ada yang sampai mengeluarkan air mata. Saya amat-amat bangga dengan kejayaan kakak saya walaupun ia hanya pingat Perak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul zaman Yahaya mengunjungi keluarga itu pada Rabu untuk menyampaikan penghargaan daripada kerajaan negeri Perak.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan untuk memberi insentif kepada Hoong susulan daripada kejayaannya yang bersejarah itu.

“Ini pencapaian sangat bermakna serta bersejarah untuk Perak kerana Jun Hoong merupakan wanita pertama di negeri ini yang memenangi pingat di sukan Olimpik.

“Kita akan mengadakan perbincangan bagi memberi insentif kepada beliau, penambahan kepada yang akan diterima olehnya dari Majlis Sukan Negara (MSN) nanti,” jelasnya.


21 views0 comments
bottom of page