IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengucap tahniah kepada penerjun kelahiran Perak, Jun Hoong di atas kejayaannya memenangi pingat perak bagi acara 10 meter platform seirama wanita di Pusat Aquatik Maria Lenk Rio di Rio De Janeiro awal pagi Rabu (waktu Malaysia).
Dr Zambry berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian yang dicapai Jun Hoong dan pemberian insentif wajar diberikan kepada penerjun anak kelahiran Kepayang itu.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan memberi insentif yang sesuai kepada Jun Hoong kerana mencipta sejarah buat negara dan negeri Perak.
``Kita akan fikirkan sesuatu untuk beliau, ada sesuatu untuk beliau daripada kerajaan negeri yang akan saya umumkan kemudian,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Dr Zambry berkata, pencapaian Jun Hoong juga akan memberi inspirasi kepada lebih ramai atlet di negeri ini untuk turut mencipta nama dan memenangi pingat di peringkat Olimpik.
Jun Hoong, yang bergandingan dengan Pandelela Rinong telah memenangi pingat perak bagi acara 10 meter platform seirama wanita di Pusat Aquatik Maria Lenk Rio di Rio De Janeiro.