IPOH: Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menggugat UMNO dan Barisan Nasional malah sebaliknya memperkukuhkan BN untuk terus berdepan parti lawan.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, apa yang lebih penting dan perlu diberi fokus ialah ahli parti perlu sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi asakan daripada parti-parti lawan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, semua ahli UMNO dan BN tidak harus leka malah perlu sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapi parti lawan dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.
"Saya percaya ianya akan mengukuhkan lagi BN daripada segi kesatuan dalam kalangan ahli-ahli untuk memastikan BN dan UMNO tidak akan tumbang disebabkan oleh asakan-asakan daripada parti-parti seperti parti baharu yang ditubuhkan ini.
``Paling penting adalah memperkukuhkan barisan kita kerana yang jelas mereka (parti Bersatu) ditubuhkan untuk menentang BN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Rabu.
Dr Zambry berkata, beliau percaya penubuhan parti baharu itu juga akan membuka kesedaran dan komitmen tinggi bagi setiap ahli BN untuk terus bergerak mempertahankan parti dan memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat.
"Jadi tidak perlulah kita fikirkan sangat soal bimbang atau tidak, ini memberikan suntikan semangat yang besar kepada BN, ahli-ahlinya dan juga di peringkat parti-parti dalam BN untuk kukuh dan bersatu bagi menghadapi cabaran tersebut,” katanya.
Dr Zambry diminta mengulas mengenai penubuhan parti Bersatu yang didaftarkan semalam.
Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan permohonan untuk mendaftar parti baharu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS)