top of page
muinsapidin

‘Saya Tidak Berlakon Cedera’

IPOH - Jurugambar yang cedera selepas diserang penyokong pasukan bola sepak di Stadium Perak, Sabtu lalu kesal dengan pelbagai tohmahan kepadanya dalam media sosial.

Sufian Ahmad, 36, berkata, dia dituduh dibayar, menipu serta berlakon dalam insiden pergaduhan itu hingga menyebabkannya mengalami kecederaan di tangan dan lebam-lebam ketika mempertahankan kameranya yang dirampas beberapa lelaki.

Sufian (dua, kanan) menunjukkan kecederaan dialaminya ketika kejadian sambil diperhatikan Musa (kanan),

Azizi dan Sayed Hesham (dua, kiri).

“Terima kasih kepada pasukan keselamatan dan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang berjaya mengesan kembali kamera yang hilang. Namun, tohmahan dilemparkan kepada saya dan rakan-rakan media dalam laman sosial adalah satu fitnah.

“Satu laporan polis dibuat bagi menafikan kejadian yang menimpa saya. Individu yang memuat naik kenyataan fitnah serta gambar individu yang dirakam menerusi gambar dan video diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini, kelmarin.

Hadir sama, Exco Pafa, Musa Dun; Penolong Pengurus Pasukan Perak, Azizi Mohd Rejab dan Presiden Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Hesham Syed Idris.

Sementara itu, Sayed Hesham berkata, suatu peraturan atau undang-undang baharu perlu diwujudkan bagi memastikan keselamatan petugas-petugas media sewaktu perlawanan berlangsung supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi.

“Kejadian itu tidak seharusnya berlaku kerana media diserang tanpa sebab. Kita bukanlah penyokong mana-mana pasukan kerana kita merupakan pihak berkecuali.

“Kita meminta pihak berkuasa dapat mengesan individu yang bertanggungjawab menyerang dan merampas kamera supaya dapat dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang. Kita mempunyai bukti ketika kejadian,” katanya.

Pada masa sama, Musa yang mewakili Pafa melahirkan rasa simpati dengan insiden menimpa Sufian dan bersedia membantu meringankan beban yang dihadapinya.


18 views0 comments
bottom of page