KOTA BHARU – Seorang wanita yang sarat mengandung anak kelima dihukum penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam, selepas mengaku salah mencuri sarung tangan bayi, baju serta selipar kanak-kanak.
Majistret, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri turut mengenakan denda RM3,000 terhadap tertuduh dan mengarahkan dia menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan jika denda itu gagal dijelaskan.
Tuan Maziham Yasma Tuan Abdul Wahab, 38, dengan niat mencuri di pasar raya Tesco iaitu dua selipar kanak-kanak, enam pasang baju kanak-kanak dan satu t-shirt kanak-kanak.
Tertuduh juga mengambil tiga pasang sarung tangan bayi dalam kejadian jam 3.55 petang, 21 Mac 2009. Keseluruhan nilai barangan itu berharga RM165.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta sebat jika kesalahan kali kedua.
Kejadian disedari pengadu yang bekerja di pasar raya berkenaan melihat tertuduh yang membawa satu beg sandang dalam keadaan mencurigakan.
Pengadu memerhatikan tertuduh yang keluar daripada pasar raya tanpa membuat bayaran.
Pengadu kemudian memaklumkan kepada pihak keselamatan dan menahan tertuduh sebelum menjumpai semua barangan itu di dalam beg yang dibawa.
Pada prosiding itu, tertuduh yang diwakili peguam awam memohon hukumannya diringankan kerana mempunyai anak kecil dan suami hanya bekerja sebagai buruh.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wong Siew Mun, bagaimanapun memohon hukuman berat dengan hujah tertuduh membawa anak-anaknya bersama ketika melakukan kegiatan curi itu.
“Selepas ditahan tempoh hari, tertuduh dibebaskan dengan jaminan polis dan gagal dikesan hingga baru dapat dituduh hari ini (semalam).
Mohon satu hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada dia dan orang lain supaya tidak mengulanginya,” katanya.
Tertuduh yang mengandung lapan bulan dan dijangka bersalin bulan depan itu diarah menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan semalam, manakala denda dijelaskan ahli keluarganya.