top of page
  • muinsapidin

RM14 Juta Pulihkan Koridor Sungai Perak Di Teluk Intan

IPOH: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memperolehi anggaran peruntukan sebanyak RM14 juta dari kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek memulihkan koridor Sungai Perak di Kampung Batak Rabit, Teluk Intan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pihak JPS telah melaksanakan makmal pengurusan nilai (AV) pada Mac lalu.

Ekoran dari itu, kata beliau, jabatan berkenaan dalam proses menyediakan kertas kerja untuk memanggil sebut harga bagi melaksanakan kerja-kerja ukur halus pengambilan balik tanah.

“Setelah kerja-kerja ukur tersebut diperolehi, seterusnya jabatan akan melaksanakan makmal kedua iaitu makmal pengurusan kejuruteraan (VE) yang bertujuan memantau dan memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dan efektif dari segi kos dan keberkesanan projek,” katanya ketika menjawab soalan Terence Naidu (DAP – Pasir Berdamar) ketika Sidang DUN di sini pada Selasa.

Zainol memberitahu, JPS telah menyediakan pelan rekabentuk bagi melaksanakan projek tersebut dan dijangka pada tahun hadapan, projek tersebut akan ditender dan dilaksanakan setelah selesai kerja-kerja pengambilan balik tanah.

Menurut beliau, antara skop kerja yang akan dilaksanakan di dalam projek itu ialah pengambilan balik tanah sepanjang satu kilometer, pengukuhan tebing sungai dengan pembinaan multi phase rock berms sepanjang 900 meter dan penyaluran saliran dalaman sedia ada dengan pembinaan pembentung.

Katanya, projek tersebut dijangka mula dilaksanakan Oktober 2017 dan siap dalam jangkamasa dua tahun.

“Diharap dengan terlaksananya projek tersebut, masalah banjir yang sering berlaku di kawasan terbabit akan dapat diselesaikan secara berperingkat-peringkat hingga dapat diselesaikan sepenuhnya,” ujar beliau.


16 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page