SIMPANG PULAI: Pusat Rekreasi dan Hotspring Lubuk Timah (PRELUT) mengorak langkah dalam memenuhi permintaan peminat sukan lasak dan mencabar dengan pembinaan PRELUT Adventure Camp yang dijangka siap menjelang pertengahan September hadapan.
Dengan keluasan tapak kem tiga ekar, pelbagai aktiviti lasak dan berkonsepkan semangat berpasukan akan ditampilkan di kawasan pusat rekreasi dan kolam air panas itu, yang turut menjadi salah satu destinasi pilihan bagi Tahun Melawat Perak 2017.
Pengarah Urusan PRELUT, Fadzil Akma Mohd Yusoff berkata, projek yang menelan kos RM250,000 itu dimulakan awal tahun ini bertujuan memberi nafas baru kepada pusat rekreasi sedia ada, apatah lagi dengan keindahan alam semulajadi di kawasan hutan tropika itu.
Katanya, selain dilengkapi dengan tujuh aktiviti utama iaitu , Burma Bridge, Canopy Zipline, Wood Barrier, Bosun Chair dan Giant Ladder untuk meningkatkan keseronokan serta aktiviti "team-building", PRELUT Adventure Camp juga menyediakan penginapan untuk pengunjung yang berminat.
" Kita mendapat banyak permintaan daripada pihak swasta, jabatan kerajaan, IPT serta sekolah untuk melaksanakan aktiviti "team building", namun chalet dan penginapan tidak dapat menampung semua mereka.
"Justeru, daripada itu, lahirlah PRELUT Adventure Camp yang turut menyediakan kemudahan rekreasi di kolam air panas dan kawasan semulajadi sekitar PRELUT.
" Selain itu, PRELUT juga mengambil pendekatan membina bilik kontena atau asrama yang boleh memuatkan sehingga 16 orang pada satu-satu masa, lengkap berhawa dingin, perabot asas serta cukup selesa bagi sebarang program," katanya kepada Suara Perak baru-baru ini.
Jelasnya, pembinaan semua sembilan asrama yang berukuran 10 x 40 kaki itu berjalan lancar dan mencapai 70 peratus siap sehingga hari ini.
Fadzil berkata, pihaknya juga sentiasa memastikan tahap keselamatan serta kualiti aktiviti lasak dan mencabar di sekitar kem tersebut diselia oleh mereka yang benar-benar bertauliah serta mendapat kursus kejurulatihan yang lengkap.
Menurut beliau, pihaknya juga berbincang dan mendapatkan pandangan beberapa kem lasak di sekitar Malaysia untuk mengenalpati modul yang bertepatan dan sesuai dengan keadaan iklim, geografi, bentuk muka bumi serta cuaca di sekitar PRELUT.
Beliau mensasarkan PRELUT Adventure Camp akan menjadi salah satu tarikan utama bagi penggemar sukan yang mencabar.
"Kita mendapat sokongan kuat kerajaan negeri untuk mempromosikan kawasan ini sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan dan luar negara dan kami amat menghargai inisiatif ini," ujarnya.