top of page
  • muinsapidin

Pelantikan Speaker Thangasvari Bersejarah – Dr Zambry

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pelantikan S. Thangasvari menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu, sebagai peristiwa bersejarah.

Menurut beliau, Thangascvari merupakan Speaker wanita pertama negeri itu sejak 1959 dan juga wanita pertama yang menjadi Speaker bagi Barisan Nasional (BN).

“Ini adalah perlantikan bersejarah, walaupun beliau bukan wanita pertama di Malaysia tetapi beliau yang pertama di negeri ini.

“Ini kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional, kita sentiasa memberi peluang serta memperkasakan wanita,” katanya pada sidang media selepas tamat sidang DUN Perak di sini pada Selasa.

Mengenai perjalanan sidang DUN itu, Dr Zambry berkata, ia berjalan dengan lancar di mana kedua-dua belah pihak telah memberi ruang kepada Speaker yang baharu menjalankan tugas.

“Saya lihat kedua-dua belah pihak telah memberi peluang dan ruang serta tidak terlalu menekan dalam urusan beliau menjalankan tugas sebenar tadi.

“Saya juga telah memberi sedikit sebanyak panduan kepada Speaker, kita faham ini merupakan kali pertama beliau, dari segi teknikalnya, beliau akan menjadi biasa selepas proses sidang berjalan nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita BN Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata, pelantikan itu merupakan satu lagi kejayaan negeri itu dalam mengupayakan wanita.

“Kalau kita lihat dalam tempoh setahun setengah ini, begitu ramai wanita berkelayakan telah diletakkan di tempat-tempat membuat keputusan.

“Ini membuktikan BN di bawah kepimpinan Dr Zambry memberi peluang kepada wanita berkelayakan dan diberi tempat yang sepatutnya,” ujarnya.


33 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page