top of page
  • muinsapidin

Kerajaan Negeri Rancak Perkasa Sektor Pendidikan

IPOH: Kerajaan negeri sedang rancak meningkatkan inisiatif untuk memperkasakan sektor pendidikan yang dijangka akan mengalami perubahan dan penambahbaikan menjelang abad ke-21.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, pembaharuan dinamik itu bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri dalam menaikkan pendidikan sebagai agenda utama dalam konteks pembangunan Perak Amanjaya.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk memacu matlamat menjadikan Perak sebagai pusat kecemerlangan pendidikan sekaligus meningkatkan imej dan kualiti pendidikan ke taraf dunia.

“Terdapat banyak Sekolah Berprestasi Tinggi, SBT, di negeri Perak ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan.

“Sokongan padu kerajaan negeri dalam usaha mengantarabangsakan pendidikan ialah dengan polisi dan infrastruktur pendidikan mencukupi, mengiktiraf kepentingan sektor pendidikan, mengiktiraf perkembangan pembangunan teknologi terkini dan mengekalkan standard serta kualiti perkhidmatan pendidikan,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Mohamad Kamil Shafie (BN-Manong) dalam Mesyuarat Kedua, Dewan Undangan Negeri ke-13 pada petang Selasa.

Tambahnya, antara perkembangan awal yang positif dalam merealisasikan impian itu adalah hubungan antarabangsa yang erat di antara sekolah-sekolah di sekitar negeri berdasarkan pra-syarat untuk berada dalam Sekolah Kluster Kecemerlangan SKK.

Dr Muhammad Amin berkata, sebagai contoh, terdapat 14 buah sekolah menengah di Perak yang terlibat dengan hubungan antarabangsa manakala untuk sekolah rendah pula terdapat 18 buah sekolah.

“Bagi kategori sekolah harian pula, sekolah di negeri Perak yang mempunyai hubungan rapat dengan hubungan antarabangsa ialah tiga bagi sekolah menengah dan tiga buah sekolah rendah.

“Mengantarabangsakan pendidikan di negeri Perak sememangnya disahut oleh Pejabat Pendidikan Daerah, PPD dan sekolah-sekolah di negeri Perak,” ujarnya lagi.


31 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page