Parti pembangkang DAP yang enggan menerima kenyataan bahawa Barisan Nasional (BN) tiada kaitan dengan proses perpindahan pengundi yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bertindak melemparkan fitnah tidak berasas kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang ternyata tidak puas hati telah dan terdesak meletakkan kesalahan itu kepada Dr Zambry dengan menuduh Menteri Besar bersikap ‘berpura-pura’ dan ‘memberi alasan kebudak-budakan’.
Menurutnya adalah mustahil perubahan daftar pengundi di beberap kawasan parlimen selepas PRU13 tiada kaitan dengan BN.
"Dia kata ini tidak berkaitan dengan BN, padahal memang terdapat bukti begitu jelas kesemua penghijrahan ini memihak kepada Barisan Nasional.
"Saya amat kecewa dengan apa yang dikatakan oleh seorang Menteri Besar, yang berpura-pura tidak tahu, ia tidak masuk akal langsung,"katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media Bangunan SUK selepas Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Dewan Negeri ke-13 pada petang Selasa.
Nga berkata perpindahan pengundi boleh dikesan di beberap kawasan termasuk Selinsing, Changkat Jering, Pasir Panjang dan Changkat Jong.
Katanya,Perak mencatatkan perubahan daftar masuk pengundi yang tertinggi di seluruh Malaysia iaitu seramai 30,173 pengundi di empat kawasan " marginal" khususnya di kerusi DUN yang majoritinya disandang oleh pihak pembangkang pada suku kedua PRU-13.
" Antaranya ialah daerah Selinsing, iaitu majoriti sebanyak 809 melonjak naik kepada 2899, Changkat Jering daripada 1170 majoriti kepada 2599 majoriti, Pasir Panjang daripada 304 kepada 989 pengundi dan Changkat Jong iaitu daripada 1118 pengundi majoriti kepada 1888.
" Kebanyakan perubahan daftar masuk ini tidak diketahui oleh pengundi dan ini sebenarnya satu penipuan besar-besaran dan kesalahan sistem pengundian atau Electoral Offence,"katanya.
Ahli Parlimen Taiping itu berkata sebagai contoh tindakan SPR yang sebelum ini memindahkan pengundi seperti 296 pengundi Kg Station di Kuala Kangsar kepada Parlimen Padang Rengas dalam Pilhan Raya Kecil lepas adalah satu pengkhianatan kepada sistem demokrasi negara.
" Ini adalah salah di sisi undang-undang kerana perpindahan ke parlimen lain perlu ada persempadanan semula atau dua per tiga majoriti undi Dewan Negeri dan Parlimen namun ini tidak berlaku di Perak.
" Rakyat berhak memilh siapakah kerajaan mereka, jika SPR melakukan "gerrymandering" sebegitu yang sengaja memihak kepada Barisan Nasional ini adalah satu pengkhianatan iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan mengganggu sistem demokrasi berparlimen di negara kita," katanya.
Baru-baru ini Dr Zambry dalam kenyataannya telah menyaran Nga tidak menyalahkan BN tetapi merujuk kepada SPR sekiranya beliau tidak berpuas hati kononnya berlaku pemindahan pengundi secara besar-besaran di Perak.
Menurut beliau Ahli Parlimen DAP Taiping itu tidak sepatutnya menuding jari menuduh BN terbabit dengan mendakwa pemindahan pengundi itu adalah strategi untuk memenangkan BN.