top of page
  • muinsapidin

Enakmen Lembaga Air Perak (Pindaan) 2016 Diluluskan

IPOH: Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada Selasa, meluluskan Enakmen Lembaga Air Perak (Pindaan) 2016 bagi tujuan meminda beberapa peruntukan berkenaan keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak (LAP).

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, mengikut Enakmen Lembaga Air Perak 1988, jumlah Ahli Lembaga Pengarah LAP adalah tidak melebihi sembilan orang.

Menurut beliau, mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah LAP pada 28 Januari 2016 telah bersetuju untuk menambah bilangan itu kepada 12 orang.

“Anggota-anggota yang akan dilantik terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran dan mempunyai pengalaman serta pengetahuan yang luas bagi menjalankan fungsi-fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Enakmen Lembaga Air Perak 1988,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut.

Beliau memberitahu, sehubungan dengan persetujuan tersebut, satu kertas kerja cadangan untuk mendapatkan perakuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) berkenaan deraf Rang Undang-Undang itu telah dikemukakan.

Ekoran daripada itu, kata beliau, MMK pada 21 Jun 2016 telah bersetuju untuk:-

1. Memperakukan deraf Rang Undang-Undang Lembaga Air Perak dan dibentangkan di Dewan Negeri untuk kelulusan; dan

2. Deraf Rang Undang-Undang Lembaga Air Perak (Pindaan) 2016 akan dikuatkuasakan pada tarikh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri.

Zainol menjelaskan, selain kepelbagaian bidang kepakaran anggota dan pengalaman, cadangan pindaan itu dibuat selaras dengan keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah agensi-agensi kerajaan negeri yang lain seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNPk) yang juga 12 orang.

Menurutnya, keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada pelbagai bidang akan dapat menyumbang kepada peningkatan profesionalisma, tadbir urus dan kepakaran yang diperlukan bagi meningkatkan tahap LAP dalam bidang bekalan air.


291 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page