top of page
  • muinsapidin

8,701 Pesakit Kanser Menerima Rawatan Di Perak

IPOH: Seramai 8,701 pesakit kanser telah mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan dan swasta di Perak bagi tempoh 2011 hingga 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, daripada itu, 3,837 adalah lelaki,manakala 4,864 adalah perempuan.

Menurut beliau, kanser utama di kalangan lelaki ialah kanser paru-paru iaitu 669 (17.2%) orang diikuti usus besar 593 orang (15.2%) dan nasopharynx 379 orang (9.7%).

“Kanser utama di kalangan perempuan adalah kanser payu dara 1,623 (33.1 peratus), usus besar 501 (33.1%) dan paru-paru 315 orang (6.4%),” katanya ketika menjawab soalan lisan dari ADUN Lim Pek Har (DAP - Menglembu) di Sidang DUN pada Selasa.

Dr Mah berkata, bagi mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat negeri ini berkenaan bahaya kanser dan ancamannya, kerajaan negeri telah mengadakan pelbagai kempen.

“Pelbagai kempen kesedaran penyakit kanser telah diadakan oleh kerajaan kepada orang awam di fasiliti kesihatan seperti klinik kesihatan atau hospital kerajaan.

“Kempen kesihatan juga dibuat di lapangan seperti di dalam komuniti, dewan orang ramai, kampung-kampung, pasaraya serta lain-lain tumpuan ramai,” ujarnya.

Beliau memberitahu, secara amnya, rawatan yang diberikan kepada pesakit barah adalah bergantung kepada tahap penyakit, faktor emosi dan sosial dan keluarga mereka.

Menurutnya, selain rawatan di wad, pihak hospital juga menyediakan perkhidmatan sokongan lain kepada pesakit dan ahli keluarga mereka.

Menjawab soalan wakil yang sama, Dr Mah berkata, sebanyak RM2.271 juta peruntukan disalurkan untuk rawatan pesakit kanser di mana RM2.190 juta untuk tujuan ubat-ubatan dan keperluan rawatan manakala bakinya nntuk belanja mengurus.












42 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page