top of page

WWF Malaysia Sumbang Peralatan Kepada PTNPk

  • muinsapidin
  • Aug 8, 2016
  • 1 min read

IPOH: Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menyumbangkan peralatan bernilai RM 28,477 kepada Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan di Taman Royal Belum.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, peralatan itu akan membantu PTNPk membuat pemantauan di kawasan tersebut yang dianggap kritikal.

Sambil menyatakan penghargaan terhadap sumbangan tahunan itu, beliau memberitahu, usaha konservasi turut dijalankan di Taman Royal Belum yang merupakan kawasan penting bagi pemuliharaan harimau di negara ini.

“Di sana juga umpamanya, ada lebih daripada 10 spesis hornbill (enggang) dan kehadiran ia di situ lebih tinggi daripada di Bumi Kenyalang (Sarawak), itu yang kita mahu promosikan kepada semua,” katanya di majlis penyerahan sumbangan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Hadir sama wakil dari WWF Malaysia, Norizan Mohd Mazlan dan Pemangku Pengurus Besar PTNPk, Noor Asmah Mohd Nawawi.

Antara peralatan yang disumbangkan seperti telefon satelit, GPS, peralatan perkhemahan, walkie talkie dan kamera.

Nolee menjelaskan, sumbangan itu juga bersempena dengan sambutan Hari Renjer Sedunia yang disambut pada 31 Julai 2016, selain mengiktiraf pengorbanan dan jasa renjer dalam pemuliharaan dan pemeliharaan kepelbagaian bio di Malaysia.

“Pihak PTNPk mengambil inisiatif laksanakan program ini bersama WWF Malaysia untuk serahkan peralatan kepada renjer PTNPk sempena Hari Renjer Sedunia yang disambut di Taman Negara Kubah, Sarawak,” katanya.


Comments


bottom of page