top of page

Tiada Peraturan Umum Nama Speaker Lebih Awal

  • muinsapidin
  • Aug 8, 2016
  • 2 min read

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan, tiada peraturan yang mewajibkan kerajaan negeri untuk mengumumkan lebih awal nama calon yang dipilih sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dr Zambry berkata, Barisan Nasional (BN) selaku parti yang memerintah di Perak faham mengenai keperluan untuk menghantar nama calon jika ada kekosongan jawatan dalam tempoh tujuh hari sebelum bermulanya persidangan DUN.

"Kita pihak BN tidaklah sejahil itu dari segi mematuhi peraturan dan sebab itu telah menghantar nama calon speaker kepada pihak Setiausaha Dewan sebelum tarikh akhir,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah ketua kampung India di pejabatnya di sini pada Isnin.

Beliau mengulas tindakan pembangkang membuat laporan polis mendakwa BN tidak mengumumkan calon Speaker mengikut tempoh yang ditetapkan oleh peraturan DUN Perak.

Dr Zambry berkata, BN telah melaksanakan proses penamaan calon itu mengikut jangka waktu yang telah ditetapkan dan tiada mana-mana peraturan Dewan yang memerlukan mereka memanggil media atau pihak DAP untuk memaklumkan mengenai calon tersebut.

“Yang perlu kami lakukan ialah memaklumkan, menulis secara rasmi kepada pihak Dewan, calon kami pada tarikh yang ditetapkan, kita faham kalau sesiapa sekalipun, kalau menghantar nama selepas daripada tarikh itu, maka tak bolehlah,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata beliau, memang menjadi permainan pembangkang sejak dari dahulu lagi, cuba menimbulkan isu setiap kali menjelang Sidang DUN.

Dalam pada itu, beliau mengulangi bahawa calon daripada MIC akan dilantik sebagai Speaker DUN, menggantikan Datuk Seri S.K Devamany yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet baru-baru ini.

Mengulas soalan mengenai adanya cubaan campurtangan kuasa besar asing di negara ini, Dr Zambry berkata, ia bukanlah perkara baru kerana telah berlaku di dalam banyak negara lain.

Bagaimanapun, kata beliau, apa yang paling penting sekarang ialah solidariti rakyat Malaysia sendiri untuk bersatu dan mempertahankan kedaulatan negara daripada di ceroboh.


Comments


bottom of page