PAFA Kumpul Bukti Bantu Siasatan
- muinsapidin
- Aug 8, 2016
- 2 min read
IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) telah mengumpulkan bukti-bukti bergambar dan video berkaitan insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Perak pada Sabtu lalu.
Setiausaha Kehormat PAFA, Jamal Mohd Aris berkata, kesemua bukti termasuk kenyataan saksi-saksi yang berkaitan insiden tersebut akan diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Menurut beliau, PAFA berharap bukti itu dapat digunakan pihak berkuasa dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawap serta dikenakan tindakan sewajarnya.
"PAFA tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang perbuatan yang mencemarkan semangat kesukanan yang sepatutnya wujud melalui bola sepak," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Beliau juga menafikan tuduhan kononnya persatuan itu tidak menyediakan anggota keselamatan dan petugas yang cukup kepada penyokong Johor Darul Takzim (JDT) sehingga menyebabkan kekecohan itu berlaku.
Jamal menjelaskan lebih 1,200 anggota keselamatan dan petugas dari beberapa agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Bomba dan Penyelamat bertugas pada hari itu bagi memastikan perlawanan berjalan lancar.
Tambah beliau, PAFA dengan kerjasama FAM, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah mengambil langkah perlu bagi memastikan perlawanan berjalan dalam suasana harmoni dan semangat kesukanan tanpa menjejaskan keselamatan penonton.
"Antara tuduhan tidak berasas adalah mendakwa PAFA gagal mengawal keselamatan penyokong JDT, insiden kecederaan dan rampasan kamera jurufoto media NSTP tidak berlaku dan merupakan fitnah, selain hanya menempatkan 100 anggota polis untuk menjaga keselamatan 35,000 penonton," katanya.
Jamal menjelaskan lagi, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penonton, PAFA hanya menjual sebanyak 26,000 tiket berbanding jumlah sebenar kapasiti Stadium Perak iaitu 32,000.
"Seperti diminta, PAFA juga menyediakan lebih 1,000 tiket kepada penyokong JDT dan penyokong kedua-dua pasukan dipisahkan dalam stadium dengan anggota keselamatan di tempatkan di antara mereka," ujarnya.
Justeru itu, beliau memberitahu, pihaknya menimbang kemungkinan membuat laporan polis terhadap pihak yang membuat dakwaan palsu dan melemparkan kecaman termasuk provokasi terutama melalui media sosial.
Katanya tindakan itu penting kerana dakwaan palsu dan kecaman boleh mencetuskan ketidakharmonian antara penyokong kedua-dua pasukan khususnya rakyat kedua-dua negeri.



Comments