top of page
  • muinsapidin

Jurugambar NSTP Kesal Difitnah

IPOH: Jurugambar Kumpulan NSTP, Supian Ahmad yang dibelasah penyokong bolasepak selepas perlawanan Perak dan JDT di Stadium Perak pada Sabtu, kesal kerana dilempar dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Menurut Supian, selepas video dan gambarnya menjadi viral, khususnya dalam media sosial, ada pihak yang menuduhnya menipu, dibayar dan berat sebelah.

Beliau yang telah berkhidmat sebagai jurugambar sejak 2009, berkata, apa yang berlaku tempuh hari bukanlah lakonan dan beliau tidak dibayar seperti yang didakwa di dalam media sosial.

“Saya ini media, saya datang sebagai satu entiti yang neutral untuk merakamkan segala apa yang berlaku malam tu, atas sebab kerja dan atas sebab tugasan yang diberi.

“Tapi kenapa saya dibelasah, kenapa saya dipukul dengan begitu teruk sekali, saya tak tau, saya rasa sedikit terkilan apa-apa yang berlaku selepas itu.

“Tapi yang paling menyakitkan hati saya bila mana dalam banyak di media sosial yang membuat tuduhan terhadap media, terutamanya sayalah. Dia tuduh saya dapat duit, saya dibayar, saya menipu dengan cakap kamera saya hilang,” katanya ketika sidang media bersama Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) dan wakil Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi PPMP, Sayed Hesham Sayed Idris, Exco PAFA, Musa Don dan Penolong Pengurus pasukan Perak, Azizi Mohd. Rejab.

Dalam kejadian pada sabtu, berlaku kekecohan selepas perlawanan yang menyaksikan Perak tewas 0 – 1 di tangan JDT.

Semasa kekecohan, Supian yang sedang merakam insiden yang berlaku dari dalam padang, dikatakan diserang sekumpulan penyokong JDT di samping kameranya turut dirampas.

Supian mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan PAFA kerana tindakan pantas mereka dapat menjumpai semula kameranya yang ditinggalkan di tepi padang.

Di samping kerosakan pada filter kameranya, jurugambar itu berkata, skrin komputer ribanya turut pecah ketika insiden tersebut dan tidak boleh digunakan lagi.

Sementara itu, Sayed Hesham yang turut kesal dengan kejadian itu berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana media hanya menjalankan tugas tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau menyarankan beberapa tindakan dibuat untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku itu, pertamanya, diwujudkan satu akta atau undang-undang untuk memastikan keselamatan petugas media sewaktu sesuatu perlawanan berlangsung.

“Di samping itu, persatuan juga meminta individu-individu yang bertanggungjawab menyerang dan merampas kamera saudara Sufian dicari sampai dapat dan diambil tindakan,” ujarnya.

Sementara itu, Musa berkata, PAFA turut bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Supian dan bersedia membantu sedaya upaya untuk meringankan beban yang ditanggungnya ekoran insiden tersebut.


15 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page