Dua Lagi Ditambah Sertai Ekspedisi Kutub Utara 2017
- muinsapidin
- Aug 8, 2016
- 1 min read
SERI ISKANDAR: Dua lagi Ikon Sukan Lasak Negara diumum menyertai misi Ekspedisi Kutub Utara 2017 pada April tahun depan.
Penasihat Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, 34 dan Shahrom Abdullah, 37, akan menyertai Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 36, dalam ekspedisi itu.

Menurut beliau, mereka dipilih menyertai ekspedisi itu kerana kedua-duanya mempunyai pengalaman luas dalam esktrem dan yakin mereka akan berjaya dalam misi mengharumkan nama negara.
“Mereka bertiga akan mulakan latihan khas di Institut Kemahiran Belia Negara bermula hari ini sebagai persediaan mental dan fizikal.
“Dalam latihan-latihan ini nanti, mereka akan menarik beban seberat 80 kilogram sejauh 15 kilometer setiap hari bagi latihan ini sehingga tahun depan,” katanya ketika sidang media selepas latihan ekspedisi itu di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, latihan itu nanti juga akan melibatkan penyesuaian diri di Kutub Utara yang mempunyai permukaan geografi yang merbahaya serta ancaman beruang kutub.
“Menjelang tempoh tibanya masa untuk penjelahan ke Kutub Utara itu pula, KE7B turut akan mengelolakan beberapa siri latihan dalam dan luar negara sebagai persediaan untuk mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, ekspedisi itu nanti akan memasuki Kutub Utara menerusi Longyearbyen, Svalbard, Norway sebelum mengambil penerbangan khas masuk ke kawasan berkenaan bagi memulakan ski di permukaan Lautan Artik beku sepenuhnya.

Untuk rekod, Muqharrabbin merupakan pendaki Malaysia pertama menamatkan pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia pada 2010, manakala Shahrom pula merupakan atlet sukan lasak duathlon dan triathlon negara yang baru menamatkan misi rentas Kutub Selatan pada 2015.
Terdahulu, KE7B mengumumkan seorang anak jati Sarawak iaitu Muhammad Irwan sebagai Penjelajah Negara pertama dalam ekspedisi itu pada 22 April lalu.



Comments