top of page

Demam Pokemon Go Menguntungkan Peniaga

  • muinsapidin
  • Aug 8, 2016
  • 2 min read

IPOH: Walaupun demam Pokemon Go telah menimbulkan pelbagai kebimbangan di kalangan pihak berkuasa tetapi bagi peniaga-peniaga di sekitar Pekan Lama Ipoh pula, mereka merasakan ia satu fenomena positif.

Ini kerana, fenomena itu secara tidak langsung memberi lebih keuntungan kepada peniaga-peniaga di kawasan yang menjadi hotspot bagi aplikasi permainan itu.

Menurut mereka, sejak aplikasi permainan yang berkonsepkan menangkap dan berinteraksi dengan “Pokemon” itu dikeluarkan mulai Sabtu lalu, terdapat peningkatan terhadap jumlah pengunjung di kawasan berkenaan.

Bagi Leong Chai Yen, peniaga di kawasan berkenaan berpendapat, demam Pokemon Go hanya akan memberi lebih kesan positif daripada negatif bagi pihak peniaga.

“Sebelum ini pun memang dah ramai orang datang tetapi sejak ianya dikeluarkan pada Sabtu lalu, lebih ramai anak muda datang ke tempat ini berlegar-legar dengan telefon bimbit mereka.

“Ini kesan yang baguslah untuk peniaga sebab secara tidak langsung mereka akan membeli barang yang dijual kami dan saya percaya demam ini akan lebih teruk lagi dalam masa satu atau dua bulan,” ujarnya ketika ditemui Suara Perak pada Isnin.

Bagi seorang lagi peniaga, Weng Wen Weng, kebanyakkan pemain yang berlegar di kawasan berkenaan untuk menangkap Pokemon akhirnya akan datang ke kedai mereka untuk membeli minuman atau makanan selepas seharian berjalan.

“Selain beli barangan di sini mereka juga buat tempat ini nampak lebih ceria dan ini akan naikkan lagi imej kawasan ini,” ujarnya.

Pemain-pemain aplikasi itu turut bersependapat dengan peniaga di kawasan berkenaan dan memberitahu Pokemon Go mempunyai lebih kesan positif daripada negatif khususnya di kalangan belia.

Seorang pelajar, Wan Nuraini Izati, 16, berkata, fenomena Pokemon Go akan membuatkan remaja lebih bersemangat untuk menjalani kehidupan sihat.

“Selain menguntungkan perniagaan, orang yang gemarkan permainan ini sudah tentu akan menjalani kehidupan sihat kerana mereka perlu berjalan mencari Pokemon, tak boleh duduk di rumah sahaja,” jelasnya.

Bagaimanapun, seorang pekerja swasta, P. Shalini, 24, berpendapat Pokemon Go hanya boleh memudaratkan sekiranya pemain terlalu taksub dengan aplikasi berkenaan.

“Sudah tentu ada negatifnya, jadi pemain perlu sentiasa peka dan menjaga diri ketika bermain atau melintasi jalan raya,” katanya.

Namun, bagi ibu-bapa pula, mereka merasakan permainan itu hanya merupakan satu trend yang tidak memberi sebarang faedah dan akan dilupakan tidak lama lagi.

“Bagi orang berumur seperti saya, rasaya permainan ini hanya sia-sia dan menghabiskan masa lah macam mencari hantu pula. Tapi saya yakin ianya hanya satu trend dan tidak lama lagi orang akan lupakannya,” kata seorang pesara berusia 61 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai “Maklong”.

Tinjauan Suara Perak ke beberapa tempat awam di sekitar Ipoh juga mendapati tiada sebarang aduan dibuat terhadap pemain-pemain Pokemon Go.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Perak Supt Wan Jamil Wan Chik ketika dihubungi memberitahu, setakat ini tiada saman dikeluarkan ke atas mana-mana pengguna jalanraya yang didapati bermain permainan itu ketika memandu.


Comments


bottom of page