top of page
  • muinsapidin

Cadang Wujudkan Akta Perlindungan Pengamal Media

SERI ISKANDAR: Sususlan insiden jurugambar NSTP, Supian Ahmad dipukul ketika bertugas di Stadium Perak Sabtu lalu, petugas media Perak mencadangkan kerajaan mewujudkan satu akta perlindungan pengamal media bagi melindungi golongan berkenaan ketika bertugas.

Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Wan Asrudi Wan Hassan berkata, sudah tiba masanya pengamal media di negeri itu dan Malaysia amnya mendapat perlindungan dalam menghadapi tugasan yang kian mencabar ketika ini.

Penyokong JDT dan Perak membaling objek selepas tercetusnya pergaduhan setelah

tamat perlawanan Liga Super di Stadium Perak malam tadi. - Foto Bernama

Menurut beliau, insiden pada Sabtu lalu itu seharusnya diambil serius kerana ianya bukan pertama kali kejadian tersebut berlaku di negeri berkenaan.

“Kita mengecam tindakan tersebut kerana boleh dikatakan amat melampau, kita pengamal media hanya melakukan kerja dan sepatutnya ada rasa hormat di situ.

“Bukan ini pertama kali, malah bagi Supian (jurutfoto yang dicederakan) ini merupakan kali kedua beliau diserang,” katanya pada satu sidang media di Seri Iskandar pada Isnin.

Wan Asrudi berkata, pengamal media seharusnya diberi jaminan dari aspek keselamatan ketika menjalankan tugas untuk memastikan sebarang berita di tempat kejadian dapat disampaikan kepada masyarakat secara adil serta telus.

Dalam pada itu, Ketua Biro NST Perak, Hamzah Jamaludin berkata, masyarakat seharusnya lebih menghargai tugas wartawan yang hanya menyampaikan berita dari lokasi.

“Kita sebagai pengamal media hanya menjalankan tugas tanpa menyebelahi mana-mana pihak dan untuk menyampaikan apa yang berlaku kepada masyarakat.

“Jadi jangan ambil tindakan melampau kerana kita perlu hormat menghormati. Hormatilah bidang kewartawanan ini kerana tanpa wartawan di lokasi untuk menyampaikan maklumat, tak mungkin anda di rumah dapat maklumat sebenar,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Supian mendakwa diserang penyokong JDT ketika kekecohan berlaku di tengah padang selepas perlawanan Liga Super di antara Perak dan JDT.


6 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page