IPOH: Kumpulan muzik heavy metal dari Perak, Sparrow yang pernah mencipta nama pada penghujung tahun 90an, kini muncul kembali dengan album mini yang berjudul Hasutan.
Album mini itu yang menampilkan lima lagu, Hasutan, Semangat Batu, Takdir Insan Rohingya, Mahsuri dan Bumi Palestine dijual dengan harga RM30.
Anggota asal Sparrow, Nan yang juga vocalist utamanya berkata, pembikinan album itu dimulakan Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan pelbagai komitmen lain, proses menyiapkan album yang sepatutnya dilancarkan bulan puasa lalu, tertangguh.
"Semua lagu dalam album mini ini membawa mesej kemanusiaan dan keamanan," katanya pada sidang media di PORT di sini pada Sabtu.
Di samping Nan, tiga anggota lain Sparrow ialah Suria (bass), Lan (gitar) dan Chor Fendi (drum).
Sparrow ditubuhkan pada tahun 1996 dan berasal dari Ulu Kinta tetapi hanya mampu bertahan satu setengah tahun sebelum menyepi kerana dua anggotanya, termasuk Nan terlibat dalam kemalangan, dalam masa yang sama berhijrah keluar Perak.
Kumpulan yang sinonim dengan genre muzik heavy metal Melayu itu pernah menghasilkan EP pada 2012 yang diulang cetak pada 2015 dengan lagu bonus Cahaya Big Bro.
Tahun yang sama mereka turut menghasilkan single lagu raya bertajuk Sepi Di Hari Raya.
Sparrow pernah memasuki pertandingan Battle Of The Band sebanyak sembilan kali dan pernah dinobatkan sebagai juara sebanyak 4 kali, naib juara 3 kali dan masing-masing sekali tempat ketiga serta keempat.
Menurut Nan, mereka sering mendapat jemputan membuat persembahan di luar Ipoh seperti di Tanjung Malim, Taiping, Damansara, Sungai Petani dan Pulau Pinang.
Mereka yang berminat untuk memiliki album mini Hasutan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari facebook Band Sparrow.