KAMUNTING: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Datuk Saarani Mohamed sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak yang baharu.
Najib berkata, Saarani menggantikan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah yang melepaskan jawatan itu baru-baru ini.
Beliau membuat pengumuman itu selepas merasmikan serentak mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Taiping, Bukit Gantang, Bagan Serai dan Parit Buntar di Dewan Besar ADTEC Kamunting pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Saarani ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Najib atas perlantikan itu.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Zambry atas restu beliau dan saya percaya pelantikan ini adalah satu tanggunjawab yang diberikan kepada saya untuk membantu Dr Zambry selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan BN untuk kita menyusun jentera pilihanraya kita bagi menghadapi PRU yang ke 14 nanti.
"Dahulu saya adalah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri menjalankan tugas-tugas kesetiausaan tapi dengan pelantikan ini bermakna ada tambahan tugas," katanya.