IPOH: Seorang petugas media cedera di beberapa bahagian badan selepas dipercayai diserang beberapa penyokong JDT ketika cuba untuk mengambil gambar kekecohan di Stadium Perak setelah tamat perlawanan lewat malam Sabtu.
Jurukamera NSTP, Supian Ahmad mengalami lebam di kedua-dua belah mata, bengkak di bahagian leher dan pinggang selain luka di jari kelingking beliau dipercayai akibat dibelasah oleh penyokong Harimau Selatan.
"Saya hanya cuba untuk mengambil gambar kekecohan dan situasi di dalam stadium ketika penyokong JDT berkumpul di tengah padang.
"Ketika hendak meninggalkan lokasi tengah padang, ada beberapa penyokong JDT menarik baju saya dan membelasah saya, memijak leher dan menendang saya selain cuba untuk merampas kesemua peralatan kamera saya," katanya kepada Suara Perak.
Menurutnya, mereka merampas kamera yang dilengkapi wide lens miliknya namun gagal mengambil komputer riba dan peralatan lain.
"Saya tak faham, saya cuma menjalankan tugas dan tiba-tiba ditarik dan diherdik, ada juga rakan-rakan jurugambar lain yang terlibat namun mujur mereka tidak apa-apa," katanya selepas diberikan rawatan oleh pasukan perubatan di Stadium Perak.
Supian berkata, pihak pengurusan kemudian berjaya mendapatkan semula kamera yang menjadi punca rezekinya selama ini.
Sikap tidak bermoral dan biadab oleh sesetengah penyokong Harimau Selatan ini wajar dikritik kerana seolah-olah tidak menghormati undang-undang dan mencederakan seorang petugas media dengan sesuka hati.
Dua jam selepas tamat perlawanan, keadaan di Stadium Perak masih lagi tegang walaupun perlawanan di antara JDT dan Perak telah berakhir dengan pasukan Harimau Selatan membolosi satu gol melalui Pereyra Diaz.