IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mendesak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas terhadap JDT dan penyokong mereka.
Naib Presiden PAFA, Datuk G. Irudianathan berkata, sebagai persatuan, JDT sepatutnya bertanggungjawab terhadap tindakan penyokong mereka yang beliau sifatkan sebagai tidak bertamadun.
Beliau mendakwa, kekecohan yang berlaku di Stadium Perak selepas perlawanan JDT dan Perak malam Sabtu lalu berpunca daripada provokasi keterlaluan penyokong pasukan pelawat itu.
"Kita ada bukti dan sedia serahkan kepada FAM," katanya selepas menerima laporan polis daripada Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Perak, Abdul Jamil Othman di Balai Polis Sungai Senam di sini pada Ahad.
Irudianathan berkata, kawalan keselamatan di stadium ketika itu mencukupi kerana terdapat kira-kira 800 anggota polis, tidak termasuk anggota Rela dan pegawai keselamatan stadium.
Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila jurugambar NSTP, Supian Ahmad diserang dan kameranya dirampas oleh penyokong JDT, sedangkan dia hanya menjalankan tugas.
Sementara itu, Jamil mendakwa kekecohan dimulakan oleh kumpulan penyokong JDT yang berjaket hitam, yang disyaki kumpulan IJF yang diharamkan di Johor.
"Kami mengesyaki kekecohan itu telah dirancang kerana perlawanan malam tadi adalah kunjungan terakhir JDT ke Perak," dakwanya.
Jamil juga tidak menolak kemungkinan beberapa penyokong Johor yang bertindak aggresif berada dalam keadaan mabuk dan mereka memasuki stadium kira-kira 10 minit sebelum perlawanan bermula.
Dalam pada itu, Irudianathan menasihatkan penyokong Perak agar tidak ke Stadium Larkin pada Rabu ini kerana keadaan masih panas.
"Dalam keadaan mereka hanya kira-kira 1,000 orang dan penyokong kita kira-kira 29,000 pun mereka boleh buat kecoh, apa lagi kalau di sana," ujarnya.