top of page
  • muinsapidin

Kekecohan Penyokong Berpunca Dari Provokasi

IPOH: Polis mengenal pasti punca sebenar pergaduhan di antara penyokong JDT dan Perak di Stadium Perak pada malam Sabtu selepas tamatnya perlawanan Liga Super adalah daripada tindakan provokasi di antara kedua-dua pihak.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pada awalnya perlawanan Liga Super selama 90 minit di antara Perak dan JDT berlangsung dengan lancar.

Bagaimanapun, katanya, selepas tamat perlawanan, penyokong kedua-dua pasukan terus melaungkan ayat provokasi dengan kata-kata kesat diiringi paluan gendang.

"Selepas itu bermula caci maki antara penyokong diikuti balingan objek seperti botol minuman dan mercun yang menyebabkan mereka terus bergaduh di tempat penyokong selama beberapa minit sebelum dileraikan pihak polis.

"Selepas itu, pintu pagar di hadapan penyokong JDT dibuka untuk mengasingkan penyokong JDT dengan penyokong Perak.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa penyokong JDT menyerbu masuk padang dan telah bertindak agresif dengan merosakkan papan billboard di tepi padang selain mengambil kembali botol minuman, batu, serpihan kerusi dan mula melontarkan ke arah penyokong Perak," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.‎

Sum berkata, penyokong Perak di tempat duduk penonton turut membalas tindakan dengan membaling objek tersebut ke arah penyokong JDT yang berada di dalam padang.

‎Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu pihak polis turut membuat tangkapan terhadap dua penyokong JDT yang membawa masuk suar ke dalam stadium.

Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.

"Pihak polis berjaya mengawal keadaan di dalam padang dalam tempoh 30 minit. Penonton berjaya disuraikan dan diarah meninggalkan stadium pada jam 12.30 malam.

"Pemain dan penyokong JDT telah diiringi dengan MPV polis ke hotel penginapan dan lebuh raya pada jam 1 pagi. ‎ Sum meminta mana-mana pihak yang mempunyai gambar dan video mengenai insiden tersebut agar dapat menyalurkan kepada pihak polis untuk membantu dalam siasatan lanjut.


10 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page