KAMUNTING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO mengingatkan ahli parti supaya jangan cuba meruntuhkan institusi parti keramat itu.
Menurut beliau, ini kerana parti keramat itu telah banyak berjasa dan memperjuangan nasib dan masa depan orang Melayu.
Katanya, jangan kerana selisih faham dan wujud perbezaan pendapat, maka tindakan diambil untuk meruntuhkan institusi UMNO.
"Nak selesai pebezaan pendapat ikutlah sistem perlembagaan kita, ikutlah cara orang Melayu," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO dan sayap UMNO Bahagian Bukit Gantang, Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar di Dewan Besar ADTEC Kamunting pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua UMNO Bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie ,Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat dan Ketua UMBO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali.
Najib turut menekankan pentingnya pemuafakatan dijaga dan dimantapkan bagi menjamin keutuhan parti.
Katanya, jika semua ahli parti terus bersatu ia dapat menangkis segala ancaman yang cuba menggugat UMNO.