MANJUNG: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua ahli UMNO supaya terus setia kepada parti sepanjang hayat bagi memastikan parti keramat itu terus unggul.
Beliau berkata, ahli-ahli tidak seharusnya mengharapkan jawatan atau habuan tertentu untuk terus setia bersama parti.
"Janganlah setia ketika dapat jawatan sahaja, dapat sesuatu "buah hati" baru setia tapi kalau tak dapat, lari.
"Jangan kita dah naik bahtera ini tapi kita tebuknya pula.... kita masih lagi dalam perjalan menuju pulau impian," katanya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka Manjung pada Ahad.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak yang juga Ketua Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut Najib, asas kekuatan UMNO yang telah berusia 70 tahun, terletak kepada kesetiaan ahli-ahlinya di peringkat akar umbi terhadap perjuangan parti.
Katanya, kebanyakkan parti-parti di luar negara yang seusia dengan UMNO ketika ini tidak lagi berkuasa meskipun pernah menjadi parti memerintah di negara masing-masing.
Namun, ujarnya, UMNO masih lagi kekal menjadi parti terunggul di negara ini berkat dari kesetiaan tidak berbelah bahagi dari ahli-ahli akar umbi.
"Jutaan lagi ahli UMNO biasa tidak dapat apa-apa, saya tengok dalam berpanas tetap berdiri berpeluh, nak salam dengan pemimpin.
"Mereka tidak dapat habuan tetapi mereka tetap setia dan kasih kepada UMNO. Kalau tidak dapat apa di sini tetapi sekurang-kurangnya di akhirat nanti tuhan akan beri ganjaran kepada mereka sebab kita buat kerja tuhan di bumi ini," katanya sambil diikuti sorakkan lebih 1,000 ahli UMNO Bahagian Lumut yang hadir.
Dalam pada itu, Najib turut memberitahu, hanya tiga juta lebih ahli parti sahaja yang boleh menentukan kedudukan beliau selaku presiden, bukannya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.